DUNIA
Wartawan Amerika hilang ketika mendaki di taman negara Norway

Kehilangan Alec Luhn disedari isterinya, Veronika Silchenko, pada Isnin lalu selepas Luhn gagal menaiki penerbangan pulang seperti dijadualkan.
OSLO: Usaha mencari seorang wartawan iklim warga Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan hilang ketika mendaki secara solo di sebuah taman negara di barat daya Norway kini giat dijalankan dalam keadaan cuaca buruk dan hujan lebat.
Mangsa dikenali sebagai Alec Luhn, 38, berasal dari Wisconsin dan merupakan pendaki berpengalaman yang pernah melakukan beberapa ekspedisi solo dalam keadaan mencabar.
Kehilangannya disedari isterinya, Veronika Silchenko, pada Isnin lalu selepas Luhn gagal menaiki penerbangan pulang seperti dijadualkan.
Silchenko memberitahu CNN, kali terakhir dia berhubung dengan suaminya ialah pada Khamis lalu ketika Luhn memulakan pendakian di Taman Negara Folgefonna, salah satu kawasan pergunungan bersalji di Norway.“Kami sempat bertukar beberapa mesej. Dia beritahu mahu mendaki dan hantar gambar. Dia kelihatan baik dan cuaca ketika itu juga baik,” katanya.
Itulah kali terakhir dia menerima sebarang berita daripada suaminya.
Silchenko berkata, walaupun dia sentiasa "agak risau" apabila Luhn keluar mendaki, dia juga maklum bahawa isyarat telefon selalunya lemah di kawasan gunung.
Namun, kebimbangannya semakin memuncak apabila Luhn terus gagal dihubungi sehingga hujung minggu.
“Saya mula risau sedikit pada Ahad, tapi saya fikir ini di Norway dan biasa untuk hilang sambungan di kawasan gunung. Jadi saya tunggu dulu... dan fikir akan buat sesuatu kalau dia masih tak dapat dihubungi pada Isnin,” katanya.
“Tapi bila Isnin tiba, kami putuskan untuk hubungi pihak berkuasa, sebab sepatutnya dia dah keluar dari taman negara dan dapat akses internet. Masa tu kami mula panik.”
Operasi mencari diperluas, cuaca buruk cabar penyelamat
Menurut Palang Merah Norway, operasi mencari dan menyelamat yang bermula Isnin lalu telah diperluaskan pada Selasa dengan penyertaan pasukan sukarelawan dan anjing pengesan.
Jurucakap Palang Merah Norway, Ingeborg Thorsland berkata, operasi dijalankan di kawasan yang luas dan mencabar, ditambah pula dengan hujan lebat yang menyukarkan pergerakan.
“Sekitar 30 sukarelawan daripada Palang Merah dan organisasi lain terlibat dalam operasi ini. Pasukan mencari terdiri daripada penduduk tempatan yang arif dengan kawasan tersebut, namun, keadaan cuaca dan rupa bumi sangat mencabar,” katanya kepada CNN.
Menurutnya, penggunaan dron juga diaktifkan apabila keadaan cuaca mengizinkan, manakala pasukan penyelamat gunung turut dikerahkan ke lokasi.
CNN turut memaklumkan pihak polis Norway telah diminta memberikan kenyataan rasmi.
Wartawan berjiwa alam, berdedikasi dalam isu iklim
Alec Luhn sebelum ini pernah menulis untuk beberapa media antarabangsa terkemuka termasuk National Geographic, The Guardian, The New York Times dan The Atlantic.
Kini berpangkalan di London, Luhn pernah menetap di Moscow dan Istanbul.
“Dia seorang yang sangat baik dan penyayang. Dia cintakan alam semula jadi. Sepanjang kerjayanya, dia banyak menulis tentang perubahan iklim, terutama berkaitan ais dan Artik,” kata isterinya, Silchenko.
“Dia kuat, berani dan bukan orang yang cuai. Alec adalah insan paling saya sayangi di dunia ini dan saya sangat rindukan dia. Saya mahu dia pulang secepat mungkin,” katanya dalam nada sebak. - CNN
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami