Kerajaan hari ini menegaskan banyak faktor lain yang menentukan harga hartanah kediaman biarpun pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mungkin menyebabkan peningkatan harga sebanyak satu hingga dua peratus.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong, berkata satu kajian menunjukkan kos bahan binaan, lokasi, pembelian tanah serta aspek permintaan dan penawaran adalah faktor penentu harga berkenaan.

Bercakap pada satu taklimat media di sini, hari ini, Chua berkata harga hartanah kediaman di kebanyakan bandar juga telah meningkat sebanyak enam peratus setahun, malah di kawasan tertentu ia mencecah 10-20 peratus.

"Sebenarnya, pemaju tidak akan menaikkan harga kecuali ada permintaan tinggi terhadapnya.

"Pada masa ini, pelancaran projek baharu turut mengalami kelembapan berikutan syarat pinjaman yang lebih ketat.

"Ini menunjukkan bahawa GST adalah sebahagian kos berkenaan tetapi bukannya isu utama yang menentukan harga hartanah kediaman," katanya.