AKTRES terkenal Korea Selatan era 90-an, Lee Jieun, ditemukan mati di kediamannya di Seoul pada Isnin.

Lapor Koreaboo, mayat aktres berusia 52 tahun itu ditemui kira-kira jam 8 malam waktu tempatan.

Difahamkan, pelakon yang popular menerusi drama Light of The Youth itu tinggal bersendirian kerana anak lelakinya berada di kem latihan ketenteraan wajib selama dua tahun.

Penemuan mengejut itu berlaku selepas seorang kenalan aktres itu membuat laporan polis selepas dia tidak dapat menghubungi aktres tersebut, lapor portal itu memetik pihak berkuasa tempatan. 

“Kami mendapat panggilan daripada kenalan mangsa yang mengatakan Jieun gagal dihubungi,” ujar polis.

Pihak polis turut memberitahu mayat aktres itu akan menjalani proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Lee memulakan kariernya sebagai seorang model pada tahun 1994 menerusi program Good Morning.

Bakat lakonannya mendapat pengiktirafan selepas dia memenangi trofi Pelakon Wanita Baharu Terbaik pada majlis anugerah 16th Blue Dragon Film Awards dan 34th Daejong Film Festival.

Mendiang meraih populariti dalam dunia seni lakonan Korea selepas dia membintangi drama Light of Youth yang disiarkan pada tahun 1995.

Bagaimanapun, dia kemudian memutuskan berhenti berlakon pada 1998 sebelum mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan bernama Lee Jin-sung pada tahun 2000.