JUMLAH wang kemenangan hasil menjadi juara All Stars Gegar Vaganza yang diperolehi Jaclyn Victor bukanlah satu jumlah yang kecil.

Ditambah pula dengan hasil kemenangan daripada Gegar Vaganza musim kesembilan yang lalu.

Namun, sebagai seorang ibu kepada dua cahaya mata, Jaclyn Victor mendedikasikan hadiah kemenangan itu kepada anak-anaknya.

“Wang kemenangan saya akan masukkan dalam akaun anak-anak saya, saya tak usik duit itu.

“Untuk pengetahun semua,menjadi penyanyi bukanlah setiap bulan kita dipenuhi dengan jemputan untuk membuat persembahan.

"Anak saya masih muda, jadi semua yang saya buat ini saya memang buat untuk anak saya; ini semua memang untuk mereka,” katanya kepada media.

Malah, Jaclyn berkata dia berhasrat mengadakan majlis bersama dengan kelab peminat kelak tanpa perlu menggunakan wang kemenangan itu.

Ditanya sama ada dia mengimpikan saat bergelar juara, pelantun lagu Gemilang ini berkata dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang.

Baginya berikan persembahan yang terbaik dan bermakna itu lebih penting kerana tidak mahu meletakkan satu beban ke atas dirinya sendiri.

“Tak, saya tak mahu meletakkan tekanan kepada diri saya sebab anda tahu kalau saya stress saya tak boleh kawal muka saya.

"Jadi seperti yang saya katakan sebelum ini, tak perlu kejar apa-apa, hanya buat yang terbaik yang kita boleh.

"Sebab kita dah tukar tempat di pentas yang lebih besar, lebih ramai orang, instrument yang berbeza, jadi saya hanya mahu melakukan yang terbaik,” ujar Jaclyn.

Bukan sahaja memenangi wang tunai berjumlah RM200,000 dan trofi, Jaclyn turut memenangi pakej percutian, pakej penginapan, serta baucer dekorasi ruangan.