PUTRAJAYA: Beberapa jam sahaja lagi Anugerah MeleTOP ERA 2021 (AME2021) bakal diadakan secara langsung selepas ditunda akibat penularan wabak COVID-19 yang membimbangkan pada Januari lalu.

AME2021 kembali untuk menjawab setiap teka-teki para peminat, siapa yang bakal memenangi anugerah bagi setiap kategori.

Sebelum itu bahang anugerah berprestij itu akan dimulakan dengan dua konsert awal daripada penyanyi-penyanyi yang masih segar dalam industri seni hiburan tanah air melalui Showcase Era dan Konsert Tirai AME 2021.

Dua konsert awal itu akan dikendalikan oleh Zahier Yusof, Munabella, Danial Zaini serta personaliti Astro Gempak yang juga penyampai Radio Era, Isha Norsham.

Sejurus itu, 16 pemenang daripada 16 kategori yang dipertandingkan akan diumumkan dimana tiga daripadanya merupakan kategori baharu yang diperkenalkan kepada para peminat.

Tiga kategori baharu itu ialah BBNU MeleTOP, Video MeleTOP dan Personaliti TV MeleTOP yang menyaksikan personaliti Astro AWANI, Luqman Hariz antara yang tercalon dalam senarai Top 5.

BACA: AME 2021 kembali, Luqman Hariz tercalon dalam kategori Personaliti TV Meletop

Pada masa sama, anugerah pilihan peminat itu bakal membawa kelainan apabila Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh akan mengumumkan anugerah utama; Top Top MeleTOP yang dipilih oleh juri-juri profesional.


AME 2021 | Kategori utama akan diadili juri profesional

Apalah ertinya anugerah hiburan tanpa persembahan, justeru para peminat akan dihiburkan dengan beberapa persembahan menarik daripada penyanyi-penyanyi terkenal seperti Aina Abdul, De Fam, Afieq Syazwan, Tajul dan legenda rock Malaysia, Search.

Acara yang dikendalikan tiga pengacara terkemuka Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Al-Hadad itu akan diadakan secara langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disiarkan menerusi saluran Astro Ria dan Astro 4K UHD.

Para penonton juga boleh menyaksikan AME 2021 secara penstriman menerusi Astro GO, Sooka dan On Demand.