Pelawak Nabil Ahmad akui sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini membawa seribu makna dan kelebihan buat diri terutama keluarganya.
Menurut pelawak kelahiran Negeri Sembilan itu, rezeki semakin melimpah ruah walaupun perjalanan karier sebagai seorang pelawak sedikit perlahan.
“Alhamdulillah tahun ini lain sedikit dengan tahun sebelumnya. Walaupun kerja tak berapa banyak tetapi rezeki saya semakin bertambah.
“Semuanya saya anggap rezeki daripada dua orang anak saya sendiri iaitu Naira Mikayla dan Leyla Medyna. Lebih gembira apabila anak kedua saya Leyla Medyna terima tawaran untuk berlakon dalam iklan Drypers Hari Raya tahun ini.
“Jadi ianya memberi sedikit makna dan kelebihan buat saya dan keluarga sempena bulan puasa dan hari raya nanti,” jelas Nabil kepada Astro Gempak.
Jelas Nabil lagi ianya lebih bermakna buat dirinya apabila dia mengambil keputusan untuk mengerjakan ibadah Umrah di bulan puasa pada tahun ini.
“Insya Allah 10 malam terakhir bulan Ramadan saya akan menunaikan umrah bermula dari 6 sampai 16 Julai ini. Saya akan pergi seorang sahaja dan akan balik sehari sebelum raya,” ujar Nabil lagi.
Dalam perkembangan lain, Nabil antara salah seorang selebriti tempatan yang terlibat dalam alih suara filem arahan Michale Bay iaitu Transformers : Age of Extinction yang akan disiarkan dalam versi Bahasa Malaysia pada 1 Syawal, jam 9 malam di HBO (411) dan HBO HD (413), MeleTOP Raya pada 1 Syawal bermula jam 12 tengahari di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).