HIBURAN
Astro hangatkan Final Big Stage Alpha dengan 'showcase' istimewa

Finalis Big Stage Alpha yang terdiri daripada Ariel Fesol, Araff, Daniel Sher, Ray-D, Rizal Rasid, Izat Ibrahim dan Afiq Sky bergambar di hadapan poster mereka yang terpampang pada skrin besar Pavilion Kuala Lumpur. - Gambar Astro
KUALA LUMPUR: Menjelang pentas akhir Big Stage Alpha hujung minggu ini, Astro menganjurkan satu showcase istimewa di Pavilion Kuala Lumpur, yang bukan sahaja meraikan tujuh finalis tetapi turut menghimpunkan lebih 6,000 peminat setia program realiti tersebut.
Lebih daripada sekadar persembahan hiburan, acara ini menjadi ruang interaksi secara langsung antara peserta dan peminat, di samping memperkukuh keyakinan peserta menjelang detik kemuncak pertandingan Ahad ini.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, penganjuran showcase ini merupakan sebahagian daripada latihan penting buat peserta untuk bersedia menghadapi realiti industri hiburan tanah air dan antarabangsa.
“Ini adalah salah satu bentuk latihan yang kita rancang untuk mereka dalam bagaimana untuk berhubung dengan peminat, membuat persembahan secara langsung di hadapan khalayak terbuka dan membina kerjasama dalam kumpulan. Ia menjadi ruang latihan langsung sebelum mereka melangkah lebih jauh selepas program ini,” katanya.Beliau turut menekankan bahawa Big Stage Alpha bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi platform strategik untuk melahirkan kumpulan lelaki tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kami telah merangka perjalanan mereka untuk menerima latihan lanjut di Korea Selatan bersama agensi profesional di sana, memandangkan negara tersebut merupakan pusat kelahiran ramai ikon pop dunia,” tambahnya.

Peminat bertuah yang juga merupakan pelanggan Astro turut menyertai sesi Meet & Greet eksklusif bersama finalis Big Stage Alpha dan membawa pulang cenderahati istimewa daripada Astro sebagai kenangan manis. - Gambar Astro
Turut hadir memberikan sokongan dan tampil membuat persembahan ialah penyanyi terkenal, Shila Amzah, yang berkongsi pesanan bermakna buat para finalis.
“Teruskan belajar, jangan berputus asa. Dunia seni tidak mudah, tetapi anda sudah melangkah masuk. Sentiasa peka dan ambil inspirasi dari sekeliling. Paling penting, kekal jujur dengan diri sendiri,” katanya.
Showcase turut diserikan dengan persembahan mantap daripada barisan artis terkenal seperti Hael Husaini, Akim Ahmad, Wani Kayrie, Amir Masdi dan Nadeera Zaini, menjadikan malam itu satu kenangan istimewa buat peminat dan peserta.
Pentas akhir Big Stage Alpha bakal disiarkan secara langsung pada Ahad ini, jam 9 malam di Astro Ria dan turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan Sooka. Saksikan siapa bakal dinobatkan sebagai kumpulan idaman pertama Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami