AAMIR Khan memberi kejutan dan khabar gembira buat peminat filem Bollywood apabila mengumumkan bakal menerbitkan karya terbaru di bawah rumah produksinya, The Aamir Khan Productions.

Apa yang membuatkan peminat lebih teruja adalah filem itu akan dibintangi oleh legenda, Sunny Deol.

Aamir menerusi perkongsian yang dibuat di Instagramnya turut memberitahu Sunny Deol merupakan bintang utama filem yang diberi judul Lahore 1947.

“Saya dan seluruh tim AKP sangat teruja dan gembira mengumumkan projek terbaharu kami yang dibintangi oleh Sunny Deol, diarahkan oleh Raj Raj Kumar Santoshi dengan judul Lahore 1947.

“Kami sangat tidak sabar untuk berkolaborasi dengan bakat hebat Sunny dan salah seorang pengarah kegemaran saya, Raj Santoshi.

“Perjalanan akan bermula dan kami berjanji ia tidak akan mengecewakan. Kami mohon restu semua,” tulis Aamir di Instagram.

Perkongsian tersebut telah disambut penuh ‘meriah’ oleh peminat.

Ada yang menyifatkan kerjasama yang terjalin akan membuat filem tersebut menjadi karya pecah panggung. -Gempak