TAK pernah tak meriah setiap kali dua individu ini naik ke atas pentas.

Dari minggu pertama sehingga akhir, nama hos Big Stage 2023, Elly Mazlein dan Rina Nose sentiasa mendapat perhatian netizen.

Setiap minggu pasti ramai yang menantikan kemunculan mereka berdua sehinggakan ada sesetengah peminat Big Stage mendakwa mereka hanya mengenali hos dan bukannya barisan peserta yang bertanding.

Menurut pengacara terkenal Indonesia, Rina Nose itulah realiti dunia hiburan.

Apa yang dilakukan adalah atas tuntutan kerja sebagai hos dan untuk menghiburkan penonton namun tiada niat untuk mencuri 'spotlight' peserta tahun ini.

"Industri hiburan kan, sesiapa sahaja yang berjaya menarik perhatian sudah pasti dia yang akan mendapat spotlight itu,

"Tapi bukan niat kami untuk mencuri spotlight itu. Kami hanya buat yang terbaik pilihan semua di tangan penonton," kata Rina Nose.



Pada masa sama, Elly Mazlein atau lebih mesra disapa sebagai Kak Lina juga turut menyatakan rasa syukur kerana gandingannya bersama Rina Nose diterima oleh rakyat Malaysia.

"Alhamdulillah, setiap minggu kita sentiasa diperkatakan, selalu fyp rata-rata ramai yang suka dengan kombo kali ini.

"Apabila mereka tukar format, hos dan juri ini, mereka mahukan kami lakukan yang terbaik untuk Big Stage kali ini, dan bersyukur sangat apabila apa yang kami berdua buat diterima ramai," kata Kak Lina semasa ditemui media.

Mereka juga menyatakan bahawa tidak menolak untuk bergandingan lagi selepas ini.

Kak Lina dan Rina Nose bergandingan selama 10 minggu di pentas Big Stage 2023 sebagai pasangan hos baharu menggantikan hos terdahulu Alif Satar dan Sherry Alhadad.