SHAH ALAM: Sudah cuba sedaya upaya, namun rezekinya hanya sampai disini.

Peserta Big Stage 2023 dari Singapura, Farhan Shah harus menerima kenyataan bahawa dia perlu meninggalkan program hiburan tersebut minggu ini selepas juri tetap, Aina Abdul dan Ajai mengambil keputusan untuk menggunakan Imuniti X bagi menyelamatkan Dem Lepak Boyz.

Sebetulnya Farhan merasakan dia akan tinggalkan pentas itu sejak minggu kelima lagi.

“Saya dah jangka yang saya akan tersingkir minggu ini,sebenarnya dari minggu lepas bila Aina bagi saya markah 39.

“Tapi minggu lepas saya keliru kenapa dapat markah paling rendah daripada Aina, jadi saya cuba cari apa kesalahan saya, tapi saya rasa i don't deserve 39, so daripada situ saya sudah dapat agak yang saya akan tersingkir,” kata Farhan kepada media.

Bercakap mengenai terguris hati kerana harus meninggalkan pentas Big Stage, Farhan menyatakan dia dapat merasakan bahawa juri tetap, Aina Abdul tidak menyukai dirinya.

“ Terguris hati tu, dari minggu lepas lagi saya dapat rasa yang Aina betul-betul tak suka saya, saya rasa begitu.

“Mungkin dari segi vokal ataupun persembahan saya betul-betul tidak tahu, jadi saya mahu dengar penjelasan dari Aina, jadi bila diumum mengenai Imuniti X saya dah tahu Aina akan pilih saya berbanding Firdaus Rahmat,” tambahnya.

Pada masa sama, Farhan juga menyatakan selepas Big Stage dia akan meneruskan untuk melebarkan sayapnya di Malaysia dan berterima kasih atas sokongan yang diperolehi sepanjang berada di program tersebut.



Farhan berada di tangga tiga terbawah selepas gagal menambat hati juri dengan persembahan Fighter nyanyian asal Christina Aguilera.

Peserta Big Stage diadili oleh dua juri tetap iaitu Ajai dan Aina Abdul dan ditemani dua juri jemputan iaitu Penaja utama yang juga pelakon, Aeril Zafrel (Presiden Netizen), dan Datuk Seri Rossa sebagai juri jemputan untuk minggu keenam.

Big Stage 2023 dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose dan bersiaran secara langsung selama sepuluh minggu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9 malam serta dipancarkan terus menerusi saluran Astro Ria.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Big Stage 5 juga boleh di strim di aplikasi Astro Go.