PEMINAT filem Black Widow nampaknya terpaksa menyimpan sementara hasrat untuk menonton filem tersebut kerana Disney pada Selasa umum menangguhkan tayangan filem Marvel itu.

Penangguhan tersebut dibuat berikutan penularan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan beberapa penerbitan filem antarabangsa lain turut membuat keputusan untuk menangguhkan tayangan filem mereka.

Filem yang dibintangi Scarlett Johansson itu dijadual menemui peminat di seluruh negara 1 Mei ini, bagaimana pun syarikat tersebut tidak mendedahkan tarikh baharu tayangan.

Selain Black Widow, Disney turut menangguhkan tayangan filem The Personal History of David Copperfield dan The Woman in the Window, yang masing-masing dijadual ditayangkan 8 dan 15 Mei ini.

Filem adi wira wanita arahan Cate Shortland itu turut dibintangi David Harbour, Florence Pugh, O-T Fagbenle dan Rachel Weisz.