Penggerak utama Konsert Puteri Gunung Ledang Reunion, Puan Sri Tiara Jacquelina dinasihatkan doktor untuk berehat dan tidak melibatkan diri dalam mana-mana persembahan akibat mengalami ketumbuhan nodul pada pita suara.

Perkara tersebut menyebabkan Konsert PGL Reunion terbitan Enfiniti Vision Media (EVM) yang dijadualkan persembahannya pada 27 November sehingga 1 Disember terpaksa ditangguhkan.

Dalam satu sidang media yang diadakan pada Jumaat, Tiara diwakili oleh Pengarah Kreatif EVM, Chedd Yusof selaku jurucakap memaklumkan bahawa tarikh baru konsert tersebut adalah pada 20 sehingga 24 Mac 2015 di Istana Budaya.

“Doktor pakar telinga, hidung dan tekak yang merawat Tiara telah menasihatkan agar vokalnya direhatkan dan tidak meneruskan konsert.

Ini kerana jika ianya diteruskan dikhuatiri berlaku kerosakan kekal pada pita suara Tiara” jelas Chedd.

Dalam sidang media yang sama, Tiara yang biasanya petah bersuara dilihat sukar untuk bercakap dan kadangkala menggunakan telefon pintar untuk berkomunikasi dengan Chedd.


nodul

Imej ketumbuhan nodul yang turut dikongsikan Tiara di laman Facebooknya

Menerusi Chedd, Tiara berkata, punca kesakitannya adalah kerana kurang rehat ketika mendukungi watak Norizan di dalam Teater Muzikal P. Ramlee Oktober lalu.

“Watak Norizan memerlukan lontaran vokal yang berbeza. Dari situ saya sudah berasa sakit namun menggunakan steroid bagi mengurangkan kesakitan kemudian bengkak pada pita suara semakin teruk.

Mulanya saya fikir ianya hanya sakit tekak biasa tapi bila masuk sebulan suara hilang, saya mula mendapatkan rawatan” kata Tiara yang kini sedang menjalani rawatan terapi suara di bahagian fisio Hospital Prince Court Kuala Lumpur.

Nodul pita suara merupakan sejenis ketumbuhan yang berlaku di pita suara disebabkan oleh penyalahgunaan suara (voice abuse) yang boleh berlaku di kalangan golongan yang menggunakan suara berlebihan ketika bekerja, menjerit berlebihan atau menyanyi dalam nada tinggi yang berlebihan.

Konsert PGL Reunion akan membariskan semula bintang-bintang seperti Stephen Rahman-Hughes, Adlin Aman Ramlie, Ida Mariana dan ramai lagi dalam mengembalikan nostalgia kegemilangan filem PGL.

Sebanyak 20 lagu akan diberi nafas baru seperti Asmaradana, Keranamu Kekasih, Katakan Hadirmu Kerana Cinta dan banyak lagi bakal menghiburkan peminat yang hadir selama 1 jam 45 minit ini.

Dengan penangguhan ini , Enfiniti menawarkan pemulangan wang kepada yang sudah membeli tiket atau tiket boleh disimpan untuk digunakan semula pada Mac nanti.

Kata Chedd, pihak Enfiniti akan menggunakan ruang ini dalam memperkukuhkan persediaan pihak produksi dalam konsert nanti.

“Penangguhan ini akan memberikan ruang dan masa yang lebih kepada pasukan produksi untuk lebih memantapkan persediaan dalam konsert PGL Reunion ini” katanya.

Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Operasi Istana Budaya, Cik Nik Kamaruzaman Nik Husin.