ENTERTAINMENT
'Hari Mulia' cenderamata istimewa Amir Jahari, Beto Kusyairi

Hari Mulia gandingan Amir dan Beto kini boleh didengarkan di semua platform muzik digital. - Foto/Instagram Beto Kusyairy
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pencipta lagu, Amir Jahari, mengakui penghasilan lagu raya bertajuk Hari Mulia bersama pelakon Beto Kusyairy adalah satu usaha untuk mengabadikan kenangan bersama, selain memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Amir berkata, dia pada awalnya tidak merancang untuk menghasilkan lagu raya dan idea kolaborasi unik itu terhasil secara spontan.
"Sebelum bulan puasa baru-baru ini, kami lepak bersama dan saya cadangkan kepada Beto untuk rakam lagu. Mulanya dia terkejut dan enggan, tapi saya beritahu dia, saya mahu abadikan kenangan bersama dalam satu bentuk karya.
"Lama berfikir, akhirnya dia setuju. Selepas dapat persetujuannya, saya terus teruja nak buat lagu tapi tak tahu nak buat lagu apa."Memandangkan bulan puasa sudah hampir, saya buat keputusan untuk hasilkan lagu raya dan Beto juga bersetuju," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kata Amir, proses penghasilan lagu itu juga tidak mengambil masa yang lama, malah memuji bakat dan komitmen pelakon berprofil tinggi itu untuk menjayakan projek tersebut.
Amir juga menegaskan, dia tidak menghasilkan Hari Mulia dengan niat bersaing dengan mana-mana lagu raya, baik yang sedia popular atau yang baru dilancarkan.
Selepas hampir tiga minggu dilancarkan, Amir menerima pelbagai reaksi daripada pendengar namun bersyukur dan berterima kasih kerana lagu tersebut mendapat perhatian ramai, di sebalik lambakan lagu raya yang dihasilkan tahun ini.
"Ada yang cakap lagu ini membosankan, kalau tengah memandu boleh tertidur. Tapi saya tak ambil hati kerana sekurang-kurangnya mereka tahu saya ada lagu baharu dan mendengar.
"Kalau ada yang tak berpuas hati dengan rentak lagu ini, terpulanglah pada citarasa masing-masing. Kalau anda mahukan lagu yang berentak rancak, boleh cari lagu lain. Kalau nak saya keluarkan lagu berentak rancak, mungkin kena tunggu raya tahun hadapan pula," ujarnya.
Hari Mulia kini boleh didengarkan di semua platform digital seperti YouTube, Spotify, dan Apple Music.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami