Usahawan dan wanita yang dikaitkan sedang rapat dengan sutradara terkenal Syamsul Yusof, Irene Deanna tampil menjelaskan hubungan sebenar antara mereka.

Jelas Irene, 25, dia akui terkejut dengan spekulasi yang disebutkan netizen dan menegaskan mereka berdua hanya sekadar rakan niaga.

“Saya tiada komen sebab saya tak ada apa-apa pun nak ulas.

“Tiba-tiba jer, saya pun terkejut. Kenapa jadi macam ni? (nama dipetik),” jelasnya ringkas.

Irene ditemui pada majlis sidang media Konsert Stars On Fire Hrithik Roshan di Kuala Lumpur. Sempena konsert ini, Utama Motors menjadi antara penaja utama.

Dalam pada itu, Irene menegaskan spekulasi yang tercetus itu tidak mengganggu konsentrasinya.

“Tak mengganggu pun. Tak ada apa pun, saya buat kerja macam biasa. Tak rasa stress pun, okey jer,” tambahnya.

Enggan mengeruhkan keadaan, jelas Irene lagi, foto dan video yang tular itu dirakamkan dalam salah satu acara yang dianjurkan syarikatnya.

“Itu gambar sahaja, dia datang sebab ada urusan kerja dengan syarikat ibu bapa saya dan kami tangkap gambar macam biasa. Sekadar ‘hi’ dan ‘bye’ sahaja.

“Jujurnya tiada komen apa-apa sebab tiada apa-apa pun,” tegasnya.

Ditanya adakah Irene sudah punyai teman lelaki jawabnya; “Itu pun no comment.”

Terdahulu, tular beberapa foto dan video memperlihatkan Syamsul dengan seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Irene Deanna sehingga timbul dakwaan mengatakan mereka sedang punya hubungan istimewa. - Gempak