KETIKA ramai meraikan kejayaan bersejarah Tan Sri Michelle Yeoh dalam Anugerah Akademi Ke-95 (Oscars 2023), terdapat juga sebilangan kecil yang masih tidak dapat lari daripada mentaliti negatif dan pesimis.

Di media sosial, ada yang mencanangkan bahawa kemenangan Michelle bukan sesuatu yang perlu dibanggakan rakyat Malaysia, hanya kerana kerjaya lakonan bekas gadis Bond itu tidak bermula di sini.

Malah, ada juga yang berpendapat industri seni di Malaysia terlalu mundur dan sempit sehingga karyawan tempatan terpaksa berhijrah ke luar negara untuk berjaya.

Namun begitu, masih ramai yang faham biarpun kejayaan Michelle adalah kejayaan peribadi, ia masih boleh dikongsi dan diraikan seluruh warga Malaysia.

Apa yang dicapai Michelle, kata mereka, harus dilihat dari sudut positif bukan kerana atas dasar claim, tetapi sekadar berkongsi rasa bangga dan dijadikan inspirasi.






Michelle yang dilahirkan dan dibesarkan di Ipoh, Perak, memulakan kerjaya lakonan di Hong Kong selepas memenangi gelaran Miss World Malaysia pada 1983.

Pada acara gemilang yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles itu, Michelle merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All at Once.

Michelle berdepan saingan Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie, Cate Blanchett (Tar), Michelle Williams (The Fabelmans), dan Ana de Armas (Blonde).

Michelle juga sebelum ini meraih trofi sama pada beberapa acara anugerah termasuk Anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild Awards (SAG).