ENTERTAINMENT
KRU terima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records

Menurut Norman, pencapaian ini bukan semata-mata kejayaan KRU secara peribadi, sebaliknya merupakan penghargaan buat para peminat. - Foto Icon Entertainment
KUALA LUMPUR : Kumpulan KRU menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) pada Ahad menerusi penganjuran Konsert GenKRU 2025 yang berlangsung selama empat malam di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil.
Pengiktirafan tersebut diberikan kepada trio adik-beradik, Datuk Norman Abdul Halim, Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim menerusi anugerah Most Shows in a Single Concert Series (Persembahan Terbanyak Dilakukan dalam Satu Siri Konsert)
Menurut Norman, pencapaian ini bukan semata-mata kejayaan KRU secara peribadi, sebaliknya merupakan penghargaan buat para peminat yang telah menjadikan Konsert GenKRU 2025 daripada perancangan asal satu malam kepada dua, tiga dan akhirnya empat malam.
"Kami amat berterima kasih atas sokongan tanpa henti selama lebih tiga dekad, sehingga membolehkan Konsert GenKRU 2025 diiktiraf oleh Malaysia Book of Records,” katanya.Selain KRU, pihak penganjur, Icon Entertainment (M) Sdn Bhd, turut menerima pengiktirafan MBR menerusi kategori Most Concert Tickets Sold Out in an Hour (Penjualan Tiket Konsert Terpantas dalam Tempoh Satu Jam) selepas sebanyak 8,000 tiket habis terjual dalam masa sejam.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata pihaknya amat menghargai sokongan luar biasa peminat KRU yang memastikan kejayaan Konsert GenKRU 2025.
"Terima kasih kepada pihak MBR atas pengiktirafan ini. Kami di Icon Entertainment dengan sukacitanya berkongsi penghormatan ini bersama semua peminat yang telah menjadikan konsert ini bukan sahaja mencatat jualan tiket terpantas, tetapi juga berlangsung dengan penuh gemilang selama empat malam,” katanya.
Konsert GenKRU 2025 yang dihadiri lebih 30,000 peminat turut menampilkan kemunculan istimewa beberapa artis jemputan seperti Feminin, Elite dan Adam AF.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami