LINGKARAN hidup manusia tidak pernah lekang daripada dikelilingi oleh memori - sama ada yang baik atau hidup.

Seiring pertambahan usia, kotak fikiran kita lazimnya akan kembali memikirkan momen-momen hidup terutamanya yang pernah menghiasi dalam pelbagai segmen kehidupan kita.

Selain insan-insan istimewa yang pernah singgah dalam hidup, muzik juga banyak memainkan peranan dalam kehidupan sebahagian daripada kita.

Muzik sering dianggap mendewasakan kita, bukan kerana alunan atau melodinya, namun, jauh lebih utama, pengisian lirik dalam setiap lagu yang dinyanyikan sentiasa menjadi inspirasi.

Peranan besar seniman dan seniwati dalam landskap kemanusiaan menyebabkan kita tidak boleh sewenang-wenangnya melupakan mereka.

Antara penghibur tanah air yang memiliki pengalaman luas dan pernah menyentuh emosi peminat mereka yang perlu kita kenang ialah kumpulan The Strollers.

The Strollers mungkin terlalu asing buat sebahagian besar daripada pencinta seni tanah air, namun, di mata peminat, band ini berada dalam senarai antara kumpulan yang memiliki karisma tersendiri.

Sedar tak sedar, The Strollers sudah berusia 50 tahun penubuhannya.

Untuk rekod, semasa mengecapi kemasyhuran sekitar tahun 1970-an, band berkenaan sangat terkenal dengan lagu-lagu Inggeris seperti Do What You Gotta Do, Just As I Am & Silly Joke, amongst others like Midday Sun dan New Woman.

Bahkan, band itu juga pernah merakamkan album Waiting Is di bawah label syarikat rakaman antarabangsa, CBS.

Anggota asal The Strollers yang menubuhkan band tersebut ialah Hussein Idris sebagai pemain dram, Nand Kumar (vokalis), Hassan Idris (gitar utama), Michael Magness (vokalis, pemain keyboard dan ketua kumpulan) dan Billy Chang (pemain bass).

Anggota asal The Strollers (dari kiri) Hussein Idris, mendiang Nand Kumar, Allahyarham Hassan Idris, Michael Magness dan Billy Chang.

Namun begitu, apa yang menyedihkah, dua anggota asal iaitu Nand Kumar dan Hassan Idris sudah meninggal dunia, sementara Michael Magness kini menetap di Australia.

Dalam usaha memastikan jenama band itu bertahan, The Strollers menampilkan tiga pemuzik baharu yang dinamik iaitu Rodney Steele (vokalis), Soon King (gitar utama dan vokalis) dan Dave Singh (pemain keyboard dan vokalis) yang menyertai dua anggota asal iaitu Hussein Idris dan Billy Chang.

Sebagai meraikan muzik yang pernah menjadi platform mempopularkan mereka, The Strollers akan mengadakan persembahan istimewa pada 3 Disember (esok) pukul 3 petang di ShackaBoom, Jaya One, Petaling Jaya.

Tidak sekadar mengadakan persembahan, band berkenaan juga akan mengambil kesempatan melancarkan set khas album mereka sempena ulang tahun ke-50 The Strollers yang turut memuatkan dua buah lagu baharu iaitu Someone dan Going Back To The 70’s.

Set khas album berkenaan memuatkan lagu-lagu The Strollers semasa mereka aktif di gelanggang muzik tempatan sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.