TAN Sri Michelle Yeoh hari ini berkongsi beberapa gambar majlis perkahwinannya dengan Jean Todt pada 27 Julai lalu di Instagram.

Pemenang Oscar itu memuat naik empat keping gambar, termasuk satu gambar yang disunting dari poster filem Tomorrow Never Dies.

"19 tahun dan ya!! Kami sudah berkahwin!! Terima kasih kepada keluarga yang menyayangi kami selama ini. Kami menyayangi anda," tulis aktres kelahiran Ipoh itu.

Terdahulu, pelumba F1 Brazil, Felipe Massa, menjadi individu pertama mengumumkan berita penyatuan Todt dan Yeoh menerusi Instagram pada Jumaat lalu.

BACA: Michelle Yeoh, Jean Todt berkahwin selepas 19 tahun bertunang

BACA: Tak tahu Michelle Yeoh kahwin, ibu harap majlis resepsi di Malaysia

Majlis yang dihadiri keluarga dan rakan terdekat itu diadakan di Geneva, Switzerland.

Menurut laporan Los Angeles Times, Yeoh memaklumkan dia dan Todt sepatutnya berkahwin tahun lalu namun mengalami kesukaran mendapatkan dokumen yang diperlukan kerana bekas eksekutif perlumbaan permotoran itu adalah seorang penduduk Switzerland dan negara itu mempunyai syarat dokumentasi yang ketat.