ENTERTAINMENT
Mirinda angkat semangat kekeluargaan dan kepelbagaian

Barisan pelakon Keluang Man, Abah Saya Uncle Mike, One Cent Thief 2, First Wives bersama wakil Astro Shaw & Etika.
DALAM usaha memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Etika Sdn Bhd melalui jenama Mirinda berkolaborasi dengan Astro Shaw bagi mengeluarkan treler raya bertajuk Balik Rayaaahhh!
Treler raya itu menampilkan barisan pelakon daripada filem Abah Saya, Uncle Mike, yang bakal menemui penonton di pawagam Ogos ini.
Balik Rayaaahh membawa mesej perpaduan dan kasih sayang tanpa mengira perbezaan, selari dengan tema utama filem Abah Saya, Uncle Mike.
Treler raya itu mengisahkan perjalanan tiga anak angkat Uncle Mike yang dihantar ke rumah Mak Long di kampung bagi merasai kemeriahan Aidilfitri, namun membuat satu keputusan yang mengejutkan.
Bagi Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Amy Gan, filem Abah Saya, Uncle Mike menggambarkan keindahan sebenar Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya.
“Etika dengan bangganya menjadi penaja utama serta rakan strategik bersama Astro Shaw untuk filem akan datang, Abah Saya, Uncle Mike.
“Filem ini mengisahkan seorang bapa berbangsa Cina yang mengambil tiga anak angkat berbangsa Melayu dan membesarkan mereka sambil membenarkan mereka mengamalkan kepercayaan Islam.
“Ia berdasarkan kisah benar dan merupakan sebuah filem yang sangat bermakna kerana menggambarkan keindahan Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya,” kata Amy Gan.
Bukan sekadar filem, Mirinda turut membawa kemeriahan Aidilfitri ke lokasi terpilih dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi bertemu dan beramah mesra bersama artis Astro Shaw.
Dalam semangat berkongsi rezeki, Mirinda turut menawarkan hadiah duit raya berjumlah RM260,000 kepada pengunjung bertuah sepanjang tempoh kempen, yang berlangsung dari 1 Mac hingga penghujung April.

Ketua Penjenamaan, Pemasaran & Pengedaran Astro Shaw, Norsalvina Alwee (kanan) bersama Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd Amy Gan di majlis berbuka puasa di Espira Kinrara, Resort Hotel.
Dalam pada itu, Mirinda bersama Astro Shaw menyemarakkan semangat Ramadan dengan meraikan 40 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur, Rawang.
Majlis berbuka puasa ini turut disantuni Amy Gan, Ketua Penjenamaan, Pemasaran & Pengedaran Astro Shaw, Norsalvina Alwee, yang menyampaikan sumbangan duit raya dan hamper kepada anak-anak yatim tersebut dalam suasana penuh kasih sayang.
Bagi Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, Astro Shaw amat berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama erat bersama Etika menerusi filem dan siri premium terbitan mereka.
“Kolaborasi ini bukan sahaja mengukuhkan jenama kedua-dua belah pihak tetapi mendekatkan lagi kami dengan masyarakat, di samping mencipta pengalaman yang menginspirasi dan bermakna.
“Pada bulan mulia ini, tiada yang paling istimewa buat kami melainkan dapat berkongsi rezeki dan menggembirakan mereka yang memerlukan, selain mengadakan beberapa aktiviti dengan penglibatan selebriti.
“Pengalaman ini memberi kami peluang untuk berinteraksi dan melibatkan diri dengan masyarakat,” kata Raja Jastina.
Menambah sentuhan emosi yang lebih mendalam, Michael Tong Wai Siong atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, inspirasi sebenar di sebalik filem Abah Saya, Uncle Mike, turut hadir bersama Rafei, Rasyid, dan Rahman, menjadikan majlis ini lebih bermakna.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami