Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad menjelaskan dia tidak merancang untuk mengurangkan aktiviti seninya lebih-lebih lagi dalam bidang lawak selepas pulang daripada mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Mekah.

Walau bagaimanapun menurut Nabil Ahmad, 31, dia kini lebih memberi tumpuan terhadap bidang pengacaraan berbanding komedi.

“Alhamdulillah rezeki saya dijemput untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini dan rasanya saya tidak merancang untuk mengurangkan aktiviti seni saya selepas pulang dari Tanah Suci Mekah.

“Tetapi secara peribadinya kini saya lebih fokus dalam bidang pengacaraan berbanding komedi mungkin kerana saya lebih selesa. Tidak bermaksud saya langsung melupakan kerjaya terdahulu sebab itu periuk nasi saya sewaktu berkecimpung dalam dunia hiburan,” jawab Nabil sewaktu dihubungi portal Astro Gempak baru-baru ini.

Jelas Nabil, dia tidak menolak mungkin selepas ini lebih peka dan berhati-hati apabila beraksi di pentas lawak seperti Maharaja Lawak Mega, Stand-up Comedy dan sebagainya.

“Saya tahu selepas pulang daripada mengerjakan haji semestinya banyak perkara jaga atau peka. Lebih-lebih lagi melibatkan bidang komedi. Sebab itu saya kini hanya memilih atau sangat selektif tentang lawak yang dibawakan.

“Tidak mahu menyentuh sesuatu perkara yang sensitif atau lawak yang agak berlebihan sehingga boleh menimbulkan reaksi kurang baik terhadap umum. Biar ianya mempunyai banyak pengajaran atau input yang berguna buat penonton dan peminat,” ujar Nabil.

Dalam pada itu, Nabil melahirkan rasa gembira selepas diberitahu terpilih untuk mengerjakan haji dan dijangka akan berada di Tanah Suci Mekah selama dua minggu.

“Rasa sangat bersyukur dan gembira apabila dapat tahu saya terpilih untuk menunaikan haji pada bulan yang lalu. Insya Allah saya akan berada di Tanah Suci Mekah selama dua minggu untuk mengerjakan Haji Ifrad dan semoga doa dan ibadah haji saya diterima Allah SWT,” kata Nabil mengakhiri perbualan.

Nabil Ahmad bakal bertolak ke Tanah Suci Mekah pada 19 September dan dijangka tiba ke tanah air pada 1 Oktober.