Menerusi rancangan Good Morning America hari ini, pelakon antarabangsa, Will Smith mengesahkan beliau tidak akan menghadiri acara Academy Awards atau Oscars 2016 tahun ini.

Smith menyertai isterinya, Jada Pinkett Smith yang sebelum ini menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Academy Awards yang ke-88, kerana gagal mengiktiraf pelakon serta pengarah filem yang tidak berkulit putih.

Pelakon Men in Black itu berkata, beliau berasa tidak selesa untuk menghadiri satu anugerah yang tidak menghargai usaha warga berkulit hitam dalam industri hiburan.

"Kami tidak selesa untuk berdiri di sana dan menganggap ia sebagai satu perkara yang biasa," kata Smith kepada pengacara Good Morning America, Robin Roberts.


Mengulas isu berkenaan barisan pencalonan Oscars 2016 yang hanya terdiri daripada orang berkulit putih, Smith berkata: "Ia tidak mencerminkan keindahan. Setiap orang hebat dan berkelayakan, tetapi saya berasa seperti anugerah ini sedang menuju ke arah yang salah."

Tambah Smith, pencalonan tahun ini tidak menunjukan kepelbagaian bangsa di Amerika Syarikat.

Smith adalah salah satu daripada beberapa pelakon berkulit hitam dan Hispanik yang diramalkan dalam barisan pencalonan Oscars tahun ini.

Tetapi, bagi tahun kedua berturut-turut, semua pelakon yang dicalonkan adalah yang berkulit putih, sekaligus mencetus kemarahan di kalangan pelakon serta peminat.

Susulan itu, rata-rata netizen menyifatkan Academy Awards sebagai satu majlis anugerah yang rasis menerusi hashtag #OscarsSoWhite.

Bersama Smith Jada, pengarah Spike Lee turut menyuarakan ketidakpuasan hati serta menegaskan beliau juga tidak akan menghadiri anugerah tersebut.

Malah, pelakon komedi, Chris Rock bakal menarik balik peranan beliau sebagai pengacara anugerah tersebut.