PEMINAT siri televisyen Crash Landing On You pasti teruja apabila pasangan drama Korea itu, Hyun Bin dan Son Ye-jin disahkan menjalin hubungan cinta.

Portal berita selebriti Korea, Dispatch, lazimnya akan mendedahkan pasangan romantik baharu setiap tahun.

Bagi tahun 2021, mereka melaporkan Son Ye-jin dan Hyun Bin, masing-masing 38 tahun, mula berpacaran sejak lapan bulan lalu.

Susulan pendedahan itu, laman berita hiburan Soompi melaporkan kenyataan daripada agensi kedua-dua pelakon itu, sekali gus mengesahkan khabar angin tentang mereka yang mula bertiup kencang sejak 2018.

Kata VAST Entertainment mewakili Hyun Bin: “Pelakon Hyun Bin dan Son Ye-jin bertemu menerusi projek mereka, dan selepas drama itu berakhir, perasaan positif antara satu sama lain kemudian bertukar menjadi romantik.

“Kami meminta anda untuk menerima secara terbuka hubungan mereka dan memberikan sokongan pada masa depan.”



Pada Januari 2019, mereka dilaporkan dilihat bersama di Amerika Syarikat manakala satu laporan mengenai satu majlis perkahwinan menular pada Januari 2020.

Pasangan itu membintangi filem The Negotiation pada 2018 sebelum tampil semula dalam Crash Landing On You yang mula disiarkan pada Disember 2019.

Sebelum ini, Dispatch mendedahkan Jennie BLACKPINK dan Kai EXO berpacaran pada 2019 yang disahkan SM Entertainment.

Hubungan itu bagaimanapun diputuskan hanya sebulan selepas pendedahan itu setelah empat bulan menjalinkan hubungan cinta.