Pasangan pempengaruh Nana Asry, Lela Tete bernikah bulan depan

Gambar Nana Asry dan Lela Tete yang dirakamkan pada majlis pertunangan mereka pada 1 Januari lalu.
KUALA LUMPUR: Dalam kalangan masyarakat di dua negeri di utara tanah air iaitu Pulau Pinang dan Kedah, pengaruh pasangan pempengaruh ini bukan calang-calang.
Mereka sering diundang melakukan review kedai makan dan kandungan mereka juga sentiasa menarik perhatian netizen.
Kepetahan dan personaliti menawan Nana Asry dan Lela Tete masing-masing berasal dari Pulau Pinang dan Kedah bukan hanya kelihatan serasi di media sosial, sebaliknya juga, kedua-dua mereka juga berjaya menawan hati masing-masing sehingga membuat keputusan untuk membawa hubungan profesional ke peringkat personal.
Pada 1 Januari lalu, Nana Asry dan Lela Tete atau Farhana Dalila melangsungkan pertunangan sekali gus mengejutkan sejumlah besar pengikut mereka yang tidak menyedari bahawa kedua-dua mereka saling jatuh cinta antara satu sama lain.
Bercakap kepada Astro AWANI, Nana berkata, dia dan Lela sepakat untuk bertunang selepas masing-masing yakin bahawa Allah SWT telah mengatur jodoh mereka berdua.
Sebetulnya, perkenalan antara Nana Asry dan Lela berlaku secara tidak dirancang.
Pada awalnya, mereka saling mengenali di media sosial, sekitar beberapa bulan lalu.
“Kami kenal di media sosial, tapi tak pernah mesej atau berhubung. Ditakdirkan bertemu di sebuah kedai makan pada hari yang sama, waktu yang sama,” kata Nana kepada Astro AWANI.
Pertemuan itu, katanya, berlaku selepas mereka terlibat dalam sesi ulasan makanan.
“Selepas buat review, banyak kedai mula panggil kami untuk buat content. Pada mulanya hanya kerja, tapi kemudian kami mula kenal secara dekat sebelum bertemu keluarga masing-masing,” jelas Nana.
Biarpun berkenalan dalam waktu yang singkat, namun, Lela dapat merasakan jauh di sudut hati, dia sangat-sangat menyenangi bakal suaminya itu pada pertemuan awal.
Lela juga tidak menolak bahawa jodohnya dengan Nana Asry salin tidak ubah seperti cinta pandang pertama buatnya.
"Ini adalah cinta pandang pertama buat saya.
“Nana seorang yang istimewa – sangat tenang, matang dan sopan. Dia banyak membantu dan memberi sokongan kepada saya sepanjang kami kenal antara satu sama lain sekitar tujuh hingga lapan bulan.
"Paling menyentuh hati saya Nana sangat disenangi oleh keluarga saya. Dia juga pandai bawa diri dan memiliki rasa hormat pada keluarga. Itu sudah cukup membuatkan saya yakin dengan keperibadiannya," ujar Lela.
Nana Asry dan Lela dijangka disatukan sebagai suami isteri pada Februari ini di Kedah.
Sehingga kini, persiapan kedua-duanya untuk menuju hari bahagia berjalan lancar.
"Alhamdulillah, setakat ini semua rancangan berjalan lancar. Doakan majlis kami dipermudahkan dan dikurniakan keberkatan," kata Nana pula.
Tidak hanya serius dalam bidang kandungan media sosial semata-mata, menariknya, pasangan ini turut berkongsi impian untuk menguasai bidang lakonan secara sepenuh masa.
Sebelum ini, Nana dan Lela ditawarkan berlakon kesinambungan filem Anak Mami bersama Saiful Apek dan Rozita Che Wan arahan Prof Datuk A Razak Mohaideen.
Menyusul, pasangan ini dijangka kembali ke set penggambaran untuk tawaran lain pula.
Nana dan Lela yang aktif membantu mempromosikan perniagaan makanan tempatan berkata, kerjaya sebagai pempengaruh adalah rezeki yang tidak pernah terlintas di fikiran mereka berdua.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


