PEGUAM Johnny Depp, Camille Vasquez dilaporkan menerima banyak tawaran dari Hollywood selepas berjaya mencuri perhatian semasa perbicaraan saman malu antara anak guamnya dan aktres Amber Heard.

Vasquez kini sedang menimbang pilihan yang ada, lapor media antarabangsa.

"Ejen pencari bakat memburu Camille kerana mereka menyedari bahawa dia seorang wanita yang bijak dan prestasinya memberi impak semasa perbicaraan.

"Fakta bahawa dia seorang wanita bukan kulit putih pula adalah bonus," kata sumber kepada New York Post.

Peguam selebriti, Judd Burstein, yang pernah mewakili Nicki Minaj, sebelum ini membuat kenyataan bahawa dia percaya Vasquez kini berada di landasan yang betul untuk menjadi rakan kongsi di firmanya sekarang, Brown Rudnick.

Brown Rudnick jelas gembira dengan perkembangan itu, menyatakan bahawa mereka sentiasa percaya Vasquez merupakan bintang dalam pembikinan.

"Teruja kerana ramai dapat melihat apa yang telah kami ketahui selama ini; Camille Vasquez ialah seorang bintang," kata firma itu dalam satu kenyataan.