HIBURAN
Pelakon veteran Indonesia Rima Melati meninggal dunia

Pelakon veteran tersohor Indonesia, Rima Melati meninggal dunia sekitar pukul 3.25 petang Khamis pada usia 84 tahun. - Gambar media sosial
JAKARTA: Indonesia kehilangan pelakon veteran tersohor, Rima Melati yang meninggal dunia sekitar pukul 3.25 petang Khamis.
Rima menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun di Hospital Gatot Soebroto, Jakarta.
Berita duka itu disahkan oleh anaknya, Aditya Tumbuan, seperti dilaporkan portal berita tempatan.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Rima menjalani rawatan di hospital berkenaan.Rima yang berasal dari Tondano, Sulawesi Utara dilahirkan dengan nama Marjolien Tambajong.
Sepanjang hayatnya, beliau menempa kegemilangan sebagai pelakon, penyanyi, pengarah dan model.
Rima mengikut jejak langkah seni ibunya, Non Kawilarang yang merupakan antara perintis dunia peragaan di negara itu.
Antara pencapaian tertinggi Rima sepanjang bergelar anak seni ialah meraih anugerah Piala Citra pada 1973 hasil lakonannya dalam filem Intan Berduri bersama Benyamin Sueb.
Piala Citra merupakan penghargaan tertinggi untuk karyawan filem Indonesia.
Beliau juga pernah muncul dalam 100 buah filem antaranya Kupu-Kupu Putih, Cinta Silver, dan Ayah, Mengapa Aku Berbeda?.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami