Pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS menolak dakwaan segelintir pihak yang berpandangan peserta Gegar Vaganza musim keenam (GV6) tidak menonjol dan “sehebat” peserta-peserta sebelum ini.

Sebaliknya, menurut Ramli yang mesra dengan panggilan Tok Ram, faktor pemilihan lagu menjadikan peserta GV6 dilihat seolah tidak menyerlah berbanding artis-artis yang pernah menyertai program realiti nyanyian tersebut.

Mengakui pihak produksi berdepan kesukaran dalam menentukan lagu, jelas Ramli, tidak semua lagu yang popular pada era kini bertepatan dengan konsert yang dibawa Gegar Vaganza.

“Jadi, nama-nama besar dari musim pertama hingga lima sudah masuk dan mereka yang ada di GV6 bukan serpihan. Jika dilihat dari konteks begitu (artis-artis yang pernah masuk), peserta GV6 akan dilihat tidak meriah.

“Namun, faktor pemilihan lagu sangat susah untuk cari sekarang kerana kebanyakan lagu sudah digunakan (dinyanyikan pada konsert sebelum ini). Kita kena cari lagu yang berasaskan konsert, bukan popular dan hit.

BACA: Perjalanan Kool di pentas Gegar Vaganza berakhir

BACA: Kenali Nur Fatima, "beauty with brain" yang beri saingan hebat dalam GV6

“Kalau pilih lagu yang hanya sedap didengar di radio, kadang-kadang di pentas GV, ia (lagu itu) akan menjadi hambar,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Sabtu.

Konsert minggu kelima menyaksikan seramai 10 lagi peserta bakal berentap dengan lagu bertemakan

Ditanya mengenai prestasi peserta, juri tetap GV6 itu berkata, segelintir peserta sudah pun menunjukkan peningkatan yang memberansangkan dalam persembahan mereka pada setiap minggu.

“Ada yang menunjukkan peningkatan yang agak ketara sebab keselesaan berada di pentas, ada juga yang masih tercari-cari dan (ada peserta yang) tidak okay.

“Tetapi, saya tidak boleh beritahu siapa (peserta tersebut). Saya rasa anda boleh mengagak dari segi kedudukan peserta itu sendiri,” katanya.

Pada konsert minggu lalu, persembahan mantap dan memukau daripada Jatt menerusi lagu Debunga Wangi bersama Ayai Ilusi meletakkan beliau di kedudukan teratas dengan markah sebanyak 77 peratus.

Konsert minggu kelima menyaksikan seramai 10 lagi peserta bakal berentap dengan lagu bertemakan "Curahan Hati".

GV6 bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada setiap Ahad jam 9 malam dan dihoskan oleh pengacara hebat, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.