KUALA LUMPUR: Selepas pelbagai pihak menyuarakan rasa tidak puas hati, penyanyi Taiwan, Jay Chou pada Jumaat memaklumkan bersedia untuk menangguhkan konsertnya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 15 Januari ini.

Dalam kemas kini di IG Storynya, penulis lirik, aktor serta personaliti televisyen itu berkata, penangguhan tersebut boleh dilakukan jika peminat bola sepak negara memaklumkan kepada persatuan sukan dan pengurusan stadium berhubung perkara itu.

“Peminat bola sepak Malaysia, saya tahu anda memandang serius bola sepak. Saya boleh bekerjasama dan menangguhkan konsert, tiada masalah.

"Tetapi yang penting anda harus sampaikan kepada persatuan bola sepak atau penganjur tempat anda sama ada mereka membenarkan saya menangguhkan konsert.

“Saya tiada masalah dengan itu, saya cuma mahu menyanyi untuk peminat saya. Cuma saya harap apabila orang datang melihat konsert saya, mereka datang dengan hati yang gembira,” katanya dipetik dalam kenyataan berkenaan.

Terdahulu, penyokong bola sepak negara tidak berpuas hari selepas 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa dikosongkan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pemasangan pentas konsert Chou.

Setakat Khamis, 59,000 tiket bagi perlawanan separuh akhir Malaysia menentang Thailand yang dijadual berlangsung pada Sabtu habis terjual.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata pemasangan struktur pentas di lokasi konsert berkenaan ditempah awal oleh pihak penganjur sejak Mac 2019 dan mustahil untuk mengubah situasi berkenaan memandangkan itu turut melibatkan jumlah kru yang ramai.

Yeoh juga menegaskan tidak boleh menyalahgunakan kuasanya semata-mata untuk 'mengorbankan' konsert penyanyi Taiwan berusia 43 tahun itu.