DEMAM rock yang melanda negara baharu-baharu ini masih belum reda!

Terbaharu, band rock legenda dari Indonesia, Radja, bakal bersatu bersama Ratu Rock Malaysia, Ella dalam konsert Live In Concert: Radja & Special Appearance Ella (Jujur Takkan Melupakanmu) pada 12 November 2023 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Radja yang dianggotai Ian Kasela (vokalis), Moldy Kusnadi (gitar) dan Seno Aji (dram) berkongsi rasa teruja mereka.

"Rindu rasanya untuk bertemu kembali dengan peminat-peminat di Malaysia setelah sekian lamanya, dan ini bukan kali pertama Radja datang ke Malaysia kerana sudah pun tiba seawal tahun 2004 dan 2005 lagi, dan setiap kali mengadakan persembahan selalunya berjaya,” kongsi Ian.



Ibarat membuka lembaran baharu, kedatangan Radja pada kali ini lebih istimewa kerana konsert yang bakal diadakan lebih kepada keakraban di antara band dengan juga peminat.

"Kami mahukan sebuah konsert yang ‘intimate’ agar peminat berasa lebih dekat, kami juga mahukan sebuah pertunjukan yang ‘sing-along’ dengan kejutan yang sungguh istimewa,” jelas Moldy.

Bukan sahaja Radja, malah Ratu Rock Negara kita juga bakal beraksi di pentas yang sama.

"Ini merupakan idea yang sudah lama diutarakan bahawa kami ingin berkolaborasi dengan Ratu Rock Malaysia iaitu Ella dalam sebuah pentas, dan pihak penganjur konsert iaitu Orange Entertainment International berjaya merealisasikannya.

“Dua lagu hits Radja ‘Jujur’ dan ‘Takkan Melupakanmu’ nyanyian Ella sangat indah didengar, maka kami gabungkannya lalu menjadi tema buat konsert kali ini di samping menjalin perpaduan muzik di antara Indonesia-Malaysia yang sememangnya akrab sejak dahulu lagi,” kata Seno.

Akhiri Ian: “Radja hanya mahu melepaskan rindu bersama peminat-peminat di Malaysia dan mari kita sama-sama ‘enjoy’ pada malam konsert nanti, jumpa anda di Kuala Lumpur!

Tiket-tiket yang dijual berharga RM168 (Rockzone 1-Jujur), RM148 (Rockzone 2-Tulus), RM528 (VVIP-Cinderella), RM238 (Platinum-Yakin) dan RM198 (Gold-Benci Bilang Cinta) boleh didapati di ticket2u.com.my. -Gempak