Sempena sambutan Syawal ini, Diana Danielle buat pertama kali merakamkan lagu raya solo berjudul Senandung Raya hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Amylea.

Menurut Diana, lagu terbitan Universal Music Malaysia itu memberikan cabaran tersendiri buat dirinya yang mana perlu menyanyikan lagu bahasa Melayu.

“Saya beritahu Amylea yang mana saya tak berapa bagus menyanyikan lagu Melayu berbanding lagu Inggeris, tapi dia sangat membantu dan memberikan sokongan ketika proses rakaman. Ternyata ia bukan semudah disangka, tapi dia sangat membantu.

“Dia juga memberikan tips bagaimana nak memajukan lagi nyanyian bahasa Melayu saya. Saya membesar dan mendengar banyak lagu Melayu, tapi tidak menyanyikannya. Jadi, ia sangat sukar untuk saya di studio.

“Ada perkataan yang kadang kedengaran bunyi Inggeris jadi tak kena untuk lagu Melayu. Ia sesuatu yang janggal. Namun, selepas ulang beberapa kali, kami dapat lakukan juga dengan baik,” katanya.

Jauh di sudut hati Diana juga yang menginginkan lagu Senandung Raya itu menjadi malar segar seperti kebanyakan lagu raya lain.

“Sudah tentu saya berharap peminat dan masyarakat boleh menerima dengan baik lagu ini.

"Sebab ia bukan seperti kebanyakan lagu raya lain, tapi lagu raya yang berentak R&B. ia mengingatkan saya pada lagu Datuk Sheila Majid.

“Jadi, saya harap orang ramai boleh terima kelainan yang dibawa dalam lagu ini dan raikan perbezaan. Saya selalu dengar orang cakap, kebanyakan lagu raya sama saja. Jadi, untuk lagu ini kami berikan kelainan.

“Mungkin ia adalah risiko, tapi saya percaya peminat hari ini terbuka menerima sesuatu yang lain daripada kebiasaan seperti konsep dan genre lagu. Saya juga harap lagu ini menjadi lagu raya yang bakal dimainkan pada setiap tahun selain mengingatkan anda kepada orang tersayang jika merindui mereka tak kira walau di mana berada,” katanya.

Senandung Raya sudah dilancarkan secara rasmi sejak 7 April lalu di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video muzik sudah boleh ditonton di saluran Youtube Universal Music Malaysia. - Gempak