REZEKI tidak pernah salah alamat. Itu yang boleh digambarkan mengenai pelakon Datuk Aaron Aziz yang menerima tawaran berlakon bersama pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam. 

Enggan menimbulkan sebarang spekulasi, Yusof menegaskan tawaran yang diberikan itu tiada kena mengena dengan konflik antara anaknya iaitu Syamsul Yusof dan Aaron. 

"Sebenarnya saya memang tengah mencari pelakon watak penjahat, bila Aaron beritahu dia digugurkan dan hilang kerja jadi saya ambil dia yang kebetulan ada masa lapang ketika itu.

"Tak ada isu mengenai Syamsul gugurkan Aaron dan saya ambil dia, ini secara kebetulan sahaja. Kita perlukan watak penting. Watak itu pula sesuai dengan dia. Saya tak nak orang salah faham.

“Tak niat, demi Allah… Syamsul itu anak saya jadi tak ada isu, saya sayang anak saya. Saya bukannya ambil Aaron sebab nak balas dendam ke apa. Demi Allah tiada (niat) itu," katanya. 

Yusof berkongsi perkara itu ketika ditemui tayangan perdana Astro Original Liar yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor pada malam Rabu.

Malah Yusof turut menjelaskan dia enggan mengambil tahu mengenai kemelut antara Syamsul dan Aaron namun tetap mengharapkan yang terbaik buat mereka berdua. 

"Bagi saya mungkin ada salah faham antara dia dan Syamsul. Saya tak pasti apa sebab dia digugurkan. Saya tak mahu menggores hati anak saya dan orang lain yang terlibat. 

“Saya ambil Aaron dengan cara profesional tanpa prejudis. Terus terang saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak dan menantu saya... begitu juga dengan Aaron. 

“Industri ini kecil sahaja pusing-pusing akan jumpa balik," katanya lagi.

* Artikel asal disiarkan di Gempak.