SELEPAS menang trofi Golden Globe Awards, pelakon Tan Sri Michelle Yeoh sekali mencipta sejarah apabila merangkul trofi Female Actor In A Leading Role di Screen Actors Guild Awards (SAG).

Pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama memenangi anugerah lakonan filem terkemuka di SAG.

“Saya rasa jika saya bercakap (pasti) hati saya akan meletup. SAG- AFTRA, untuk mendapatkan ini daripada anda yang memahami apa (yang diperlukan) untuk sampai ke sini, anda semua tahu perjalanan ini, umpama menaiki roller-coaster, naik dan turun.

“Tetapi yang paling penting kita tidak pernah berputus asa. Saya berterima kasih. Ini bukan hanya untuk saya, ini untuk setiap gadis kecil yang kelihatan seperti saya,” kata Yeoh yang sebak.

Anugerah SAG telah lama dianggap sebagai salah satu ramalan yang paling boleh dipercayai untuk seseorang meraih anugerah berprestij Oscar pula.

Lakonan Michelle Yeoh dalam filem indie Everything Everywhere All At Once telah berjaya meraih banyak anugerah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Manakala pelakon gandingannya, Jamie Lee Curtis dan Ke Huy Quan juga membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Terdahulu, Michelle Yeoh merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik Filem Muzikal atau Komedi untuk filem Everything Everywhere All at Once arahan sutradara, Daniel Kwan dan Daniel Scheinert pada Anugerah Globe.

Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Michelle atau nama sebenarnya, Michelle Yeoh Choo Kheng menewaskan aktres hebat Hollywood lain seperti Lesley Manville, Margot Robbie, Anya Taylor-Joy dan Emma Thompson. -- Gempak