KURANG dua jam sebelum konsert minggu keempat Big Stage bersiaran, peminat setia program itu ternanti-nanti nasib salah seorang pesertanya, Sandra Dianne.

Ini kerana, bintang berkenaan yang dilanda musibah kemalangan jalan raya pada Sabtu dilaporkan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya.

Berdasarkan laporan terkini, keadaan Sandra masih lagi tidak sedarkan diri.

Pihak pengurusan penyanyi itu juga tidak dapat berkongsi sebarang maklumat baharu memandangkan hanya keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan untuk melawat pelantun lagu Hey! Kau itu.

BACA : Peserta Big Stage, Sandra Dianne terlibat dalam kemalangan

Pada malam ini, Sandra sepatutnya mempersembahkan lagu Nuri yang dipopularkan oleh penyanyi ternama tanah air, Ella.

Astro AWANI difahamkan juga, stesen penyiar program ini akan memaklumkan mengenai kedudukan Sandra dalam Big Stage secara langsung malam ini.

Pada Sabtu, Sandra terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) semasa menuju ke raptai penuh konsert Big Stage.

Antara peserta yang masih bertahan dalam Big Stage ialah Farisha Iris, Usop, Azzam Sham dan Hafiz Zainal.