IPOH: Anggota kumpulan lawak terkenal tanah air, Senario akan terus membantu keluarga anggotanya, Allahyarham Hamdan Ramli yang meninggal dunia Jumaat lepas

Seorang daripada anggota Senario, Azlee Jaafar, 57, berkata, mereka bersedia pada bila-bila masa untuk membantu keluarga Allahyarham sekiranya diperlukan.

Menurut Azlee, keakraban anggota Senario yang terdiri daripada Ilya, Wahid, Lan Pet Pet, Apek dan Yasin termasuk Allahyarham Hamdan semasa hayatnya sudah seperti satu keluarga.

Selama ini, kata Azlee, mereka sering saling mengingatkan antara satu sama lain agar sentiasa menjaga keakraban dan tali silaturrahim dalam mesej-mesej di aplikasi WhatsApp menerusi kumpulan ‘Family Senario Union.’

“Dalam kumpulan WhatsApp ‘Family Senario Union’ kami sering bercakap jangan putus hubungan dengan.

“Kalau ada masalah, bagi tau dan kami cuba sedaya upaya untuk membantu isteri arwah dan keluarganya.

“Memang Senario tak akan putus hubungan, walaupun arwah dah tak ada, kami tetap keluarga dan kalau ada masalah yang dihadapi oleh pihak isteri arwah, itu adalah tanggungjawab kami yang masih lagi ada.

“Arwah banyak berjasa dengan Senario, 27 tahun kami bersama, takkanlah kami nak lupakan warisnya, kami tetap akan kan bersama. Jadi apa yang boleh kami bantu, kami akan bantu,” katanya semasa ditemui ketika bersama beberapa ahli keluarga Hamdan ketika menziarahi kubur Allahyarham di Tanah Perkuburun Islam Tambun, di sini, pada Selasa.

Dalam masa sama, Azlee mengakui, kesemua anggota Senario yang tinggal seolah-olah hilang panduan ketika dimaklumkan mengenai pemergian Hamdan.

“Kami memang ‘down’ (berduka) ketika itu, sebab banyak perancangan yang telah dan hendak diatur.

“Tetapi kami reda kerana perancangan Allah itu lebih baik dan Hamdan pergi meninggalkan kami pada hari Jumaat, hari yang penuh dengan barakah,” ujarnya.

Menurut Azlee, antara projek terbaharu kumpulan itu ialah filem Senario Legend arahan Ahmad Idham yang dijangka memulakan pengambaran selepas Hari Raya.

Katanya, banyak pihak tampil untuk membantu keluarga Allahyarham Hamdan, termasuk Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air termasuk rakannya, Baharudin Hassan yang banyak memberi sumbangan kepuk dan batu nisan di Selangor dan Perak.

Sementara itu, Baharuddin ketika ditemui berkata, sebagai usahawan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), beliau memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan dan yang banyak berjasa.

“Saya selalunya ambil asnaf, orang kurang upaya (OKU) ataupun orang yang pernah menaikkan nama negara, contohnya arwah (Allahyarham Hamdan),”kata beliau yang turut memberi sumbangan sama kepada waris seniman Allahyarham Datuk M Daud Kilau.

Pada Jumaat lalu, Hamdan, 54, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Sebelum itu, Allahyarham ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSA, akibat jangkitan kuman dalam darah.