FILEM arahan Syafiq Yusof, Sheriff: Narko Intergriti meraih kutipan sebanyak RM11.4 juta dalam tiga hari tayangan dengan satu hari tayangan awal.

Berita gembira itu dimaklumkan menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram rasmi Astro Shaw pada Ahad.


 

“Alhamdulillah. Dalam masa empat hari tayangan sahaja dah capai RM11.4 juta! Skuad Sheriff nak ucapkan jutaan terima kasih atas sokongan anda yang padu ni!

“Untuk anda yang masih tak tengok lagi tu, jom habiskan weekend ni tengok filem Sheriff. Kita kasi pecah itu panggung!” tulis kenyataan itu.

Sheriff merupakan terbitan dua penerbit besar tempatan iaitu Skop Productions bersama Astro Shaw, yang memulakan tayangan rasminya pada 18 April di panggung wayang seluruh negara.

Selain Zul Ariffin, Sheriff juga dibintangi oleh Syafiq Kyle, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan dan ramai lagi.


 SINOPSIS:

Sheriff menampilkan watak Nazri (Syafiq Kyle) iaitu seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa.

Nazri berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas dari cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman.

Dalam masa yang sama, Sheriff (Zul Ariffin), seorang anggota daripada Jabatan Integriti telah dihantar oleh pihak IGP untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’ dan dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.

*Artikel asal yang disiarkan di Gempak