HIBURAN
Siti Nurhaliza terus tabur bakti untuk Palestin
DATUK Seri Siti Nurhaliza Tarudin bukan sekadar seorang penyanyi, tetapi dengan hati dan jiwa yang luhur, beliau menjadi penyambung harapan buat ribuan jiwa yang diuji kesengsaraan.
Ringkasan AI
- Misi Kemanusiaan Palestin: Yayasan Nurjiwa pimpinan Siti Nurhaliza menyalurkan bantuan makanan dan keperluan musim sejuk kepada lebih 10,000 rakyat Palestin setiap hari, dengan sokongan sumbangan RM300,000 daripada Inayah Beauty untuk membaik pulih masjid di sana.
- Bantuan Domestik B40: Siti turut membantu pelajar universiti dari golongan B40 setiap Jumaat melalui agihan makanan di beberapa institusi pendidikan terpilih di Malaysia.
- Karya Muzik & Warisan: Siti melancarkan single baharu 'Menamakanmu Cinta' dan sedang merancang album irama Malaysia, membuka peluang kepada komposer arus perdana dan pencipta lagu dari MACP.
“Walaupun makanan kadangkala dalam bentuk bijirin dan kekacang, kami tetap salurkan dua kali sehari menerusi wakil kami di sana iaitu Dr Mohanad Kullab.
“Selain itu, kami juga beri bantuan khas seperti keperluan musim sejuk,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bersama Yayasan Nurjiwa x Inayah Beauty di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis diserikan dengan kehadiran duta rasmi jenama tersebut antaranya Fasha Sandha, Aidil Aziz, Elisya Sandha, Watie Hanifiah, Bella Astillah, Intan Ladyana, Intan Najuwa dan Syed Saddiq.
Biarpun jauh di mata, Palestin tidak pernah luput dari hati. Lebih bermakna, yayasan yang dinaunginya menerima suntikan semangat apabila Inayah Beauty menyerahkan sumbangan berjumlah RM300,000 bagi tujuan membaik pulih masjid di wilayah yang sering diuji itu.
Projek tersebut bakal dilaksanakan oleh wakil Yayasan Nurjiwa yang menetap di kawasan berkenaan — bukan sekadar membina semula dinding fizikal masjid, malah menghidupkan kembali semangat mereka yang bersujud di dalamnya.
Selain bantuan ke luar negara, Biduanita Negara itu turut menyantuni keperluan dalam negara apabila menyalurkan bantuan makanan kepada pelajar universiti daripada golongan B40 di beberapa institusi pendidikan terpilih setiap Jumaat.
“Yayasan memang akan kongsikan setiap aktiviti kami kepada orang ramai agar amanah yang diberi sampai ke sasaran,” ujarnya lagi.
Dalam dunia muzik pula, figura berusia 46 tahun itu terus mengukir langkah dengan penuh bergaya apabila tampil bersama single baharu berjudul Menamakanmu Cinta, hasil kolaborasi ketiganya bersama komposer dan pemuzik berbakat dari Indonesia, Ade Govinda.
Sebelum ini, Ade mencipta tiga lagu popular untuk Siti Nurhaliza menerusi album Fragmen (2014) iaitu Terbaik Bagimu, Engkau dan Tak Pernah Ragu.
“Bila Ade beri dengar, saya terus suka. Dia sangat produktif. Bagi saya, Ade ada sentuhan magis. Macam Melly Goeslaw dan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.
“Itu rezeki masing-masing. Bila sentuhan ada keajaiban, secara tidak langsung lagu itu akan ‘hit’, dan Ade salah seorang yang begitu,” katanya penuh yakin.
Dalam diam, Siti juga sedang menyusun langkah untuk menerbitkan sebuah album irama Malaysia dan kini dalam proses menilai serta memilih lagu-lagu yang bersesuaian.
Tidak hanya bekerjasama dengan komposer arus perdana, pelantun Percayalah itu turut membuka peluang kepada pencipta lagu dari Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Malaysia (MACP).
“Sebelum ini, ketika saya hasilkan album Lantera, saya buka peluang kepada komposer dari bengkel yang dianjurkan MACP. Jadi kali ini, Kak Rozi (Abdul Razak) hubungi MACP sekali lagi untuk dapatkan lagu.
“Setakat ini, saya terima lebih 50 buah lagu dan saya masih terbuka kalau ada yang mahu memberikan karya. Setiap satu saya dengar dan tapis untuk pilih yang terbaik,” jelasnya. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami