KUALA LUMPUR: Penyanyi, Siti Sarah Raisuddin selamat melahirkan bayi lelaki kira-kira pukul 5 petang hari ini.

Kelahiran anak keempat pasangan, Siti Sarah dan Shuib Sepahtu itu dimaklumkan oleh pengurusnya, Nana Mohd. Rom dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Ia menyusul selepas penyanyi berusia 36 tahun itu hari ini dilaporkan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras.

“Untuk makluman Siti Sarah telah selamat melahirkan bayi lelaki kira-kira pukul 5 petang tadi.

“Walau bagaimanapun, keadaan Siti Sarah masih belum sedar,” katanya dalam kenyataan tersebut, pada Jumaat.

Dalam masa sama, Nana memohon agar semua pihak mendoakan kesihatan Siti Sarah dan urusannya.

Sementara itu, Shuib yang juga usahawan dan pelawak menerusi kemas kini di Instagramnya memaklumkan, bayinya yang baru dilahirkan itu ketika ini memerlukan bantuan alat pernafasan kerana pramatang.

Jelasnya, keadaan Siti Sarah juga masih kritikal. 


Astro AWANI hari ini melaporkan suami kepada pelantun lagu Kesetiaan itu berkata Siti Sarah dimasukkan ke ICU selepas tahap oksigen semakin tidak stabil, dipercayai akibat jangkitan COVID-19.

BACA: COVID-19: Siti Sarah kritikal, bacaan Yasin dan doa diadakan - Pengurus

Majlis bacaan Yasin dan doa secara dalam talian turut diadakan pada 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang tadi, yang disertai sekurang-kurangnya 92 kenalan.

Sekitar 2 petang tadi, Shuib turut memaklumkan Siti Sarah telah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungan yang berusia tujuh bulan.

Sarah dan Shuib sekeluarga positif COVID-19 sejak 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka dijangkiti wabak tersebut.

Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 2011 sebelum ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10 tahun, Dzahira Talita Zahra, 8 tahun, dan Ariq Matin, 6 tahun.