HIBURAN
Tetap dahagakan ilmu, Diana Danielle terus belajar demi masa depan

Bagi Diana, langkahnya menyambung pengajian bukanlah kerana desakan sesiapa, sebaliknya lahir daripada kesedaran bahawa menimba ilmu adalah proses sepanjang hayat, tidak mengira usia atau status kerjaya. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Mengecapi dunia populariti dan terus menyinar sebaris dengan nama-nama besar dalam industri hiburan tanah air biarpun selepas lebih dua dekad, pelakon dan penyanyi, Diana Danielle, 34, tidak pernah menganggap kejayaannya itu sebagai 'kerusi yang selesa'.
Bahkan ibu kepada dua orang anak ini sentiasa ingin berusaha meningkatkan diri menimba ilmu pengetahuan dan keputusannya menyambung pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej dan Universiti Antarabangsa (INTI) sejak awal tahun lepas, merupakan langkah berani wanita ini.
Bagi heroin filem fantasi Magika ini, langkahnya menyambung pengajian bukanlah kerana desakan sesiapa, sebaliknya lahir daripada kesedaran bahawa menimba ilmu adalah proses sepanjang hayat, tidak mengira usia atau status kerjaya.
Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson berkata, persekitarannya yang dikelilingi ramai individu yang berpendidikan tinggi, membuatkan dirinya berasa terinspirasi untuk terus memperkaya diri dengan ilmu secara formal di menara gading."Mungkin Dee (panggilannya) dikelilingi orang-orang yang walaupun mereka berpangkat dan ada kerja, mereka semua setidak-tidaknya ada sarjana atau PhD, dan ada yang ambil PhD berganda ada yang ambil ijazah dan sarjana berganda. Jadi, bagi Dee, terserah kepada kemahuan masing-masing.
"Sebenarnya tak ada pun kalau orang tu dah kerja, jadi dia tak boleh belajar. Dalam Islam pun kalau kita tengok, memang dituntut untuk teruskan belajar. Jadi, tak ada masalah dekat situ," kata ibu kepada Muhammad dan Nur Aurora ini.
Ditemui Bernama selepas Malaysia Bridal Fashion Week 2025 anjuran The Gown Atelier, di sini, baru-baru ini, Diana mengakui, bukan mudah membahagikan masa antara pelajaran, kerjaya seni serta tanggungjawab sebagai ibu, namun disiplin dan sokongan sekeliling banyak membantunya.
Pelakon filem Imaginur itu menjelaskan, menyusun tugasan secara berperingkat membantunya untuk memastikan setiap kerja dapat dilaksanakan sebaik mungkin tanpa perlu mengorbankan kerjaya ataupun waktu bersama-sama keluarga.
"Rasanya dalam sehari memang kita tak terlepas untuk pastikan buat segala rutin tetapi sikit-sikitlah. Contohnya, walaupun dalam masa saya sibuk, saya akan tetap menelaah, study, tetap habiskan tugasan," katanya.
Diana pada masa sama turut berkongsi usahanya melanjutkan pelajaran turut mendapat maklum balas positif daripada peminat bahkan ada individu yang tampil mengungkapkan rasa kagum melihat kesungguhannya.
"Ada juga yang kata tak payah sambung belajar dan ada yang suruh teruskan.
"Bagi saya, pandangan orang terhadap soal menyambung pelajaran ini berbeza-beza, tetapi kalau kita rasa benda tu seronok dan memberi manfaat, kita teruskan sahaja. Tak ada salah silap pun sebenarnya," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami