HIBURAN
Tiara Jacquelina terima anugerah berprestij di WITEX 2025

Kata Tiara, anugerah yang diraih lebih daripada sekadar pengiktirafan dan peringatan bahawa kreativiti, budaya dan kelestarian boleh bersatu untuk mencipta pengalaman yang memberi makna kepada kehidupan orang ramai.
KUALA LUMPUR: Tokoh budaya dan usawahan ternama, Puan Sri Tiara Jacquelina baru-baru ini menerima pengiktirafan berprestij di World Islamic Tourism & Trade Expo (WITEX) 2025.
Anugerah itu diberikan sebagai menghargai sumbangan luar biasa seniwati tersebut dalam industri kreatif, pelancongan dan budaya Malaysia menerusi projek perintis seperti Tiarasa Escapes dan Dream Forest Langkawi, yang kini menjadi penanda aras dalam pelancongan eko-luxury.
Kedua-dua projek tersebut menggabungkan elemen penceritaan, kelestarian serta kebanggaan budaya tempatan.
Kepada Tiara, pengiktirafan itu bukan sahaja penghormatan besar buat beliau secara peribadi, sebaliknya, juga untuk seluruh pasukan Enfiniti Group, keluarga, rakan kolaborasi serta semua pihak yang mempercayai visinya.“Bagi saya, anugerah ini lebih daripada sekadar pengiktirafan - ia adalah peringatan bahawa kreativiti, budaya dan kelestarian boleh bersatu untuk mencipta pengalaman yang memberi makna kepada kehidupan orang ramai.
“Projek seperti Tiarasa Escapes dan Dream Forest Langkawi membuktikan bahawa apabila kita berani bermimpi dan bekerjasama dengan bakat terbaik, kita mampu membina sesuatu yang ajaib dan bermakna,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam masa sama, Pelakon Wanita Terbaik Asia Pasifik ke-50 itu turut menegaskan, acara antarabangsa seperti WITEX berperanan penting kerana menghubungkan masyarakat merentas sempadan, sektor dan budaya.
Dengan rekod cemerlang menghasilkan karya pementasan bertaraf antarabangsa seperti Puteri Gunung Ledang the Musical dan OlaBola the Musical, selain mengusahakan destinasi pelancongan berkonsepkan eko-resort dan tarikan imersif, Tiara terus memperjuangkan Malaysia sebagai hab pengalaman budaya dan pelancongan bertaraf dunia.
Pengiktirafan terhadap Tiara di WITEX 2025 sekali gus menyerlahkan pengaruh Malaysia yang semakin meningkat dalam membentuk industri pelancongan dan kreatif yang mampan, inovatif serta berdaya saing di peringkat global.
Sebagai seorang selebriti yang berjiwa besar, Tiara sentiasa menyimpan iltizam untuk terus meneroka cabang-cabang baharu dalam kesenian dan kebudayaan selain terus memperkasakan usaha-usaha yang sedang dikerjakan beliau.
"Kecintaan saya pada kesenian dan kebudayaan akan sentiasa mekar dalam diri dan kerana itu saya sentiasa mahu berkarya," ujar Tiara lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami