SELEPAS minggu demi minggu tekaan mereka meleset, akhirnya juri tetap The Mask Singer Malaysia berjaya merungkai siapakah penyanyi di sebalik topeng.

Juri tetap yang dibarisi oleh Raja Azura, Remy Ishak, Angah Raja Lawak, Nabila Huda dan Datuk Aznil Hj Nawawi berjaya ‘hit the bullseye’ dengan mendedahkan identiti di sebalik topeng Ayam Jantan adalah pelakon popular, Hairul Azreen.

Lebih menarik lagi, Janna Nick yang merupakan juri jemputan menggantikan Ella pada minggu itu juga dapat meneka identitinya dengan tepat, kerana pernah bekerjasama dengan bintang filem Paskal itu.

Hairul berada di tangga tiga terbawah bersama dua lagi penyanyi misteri iaitu Reno dan Wau.

Namun Hairul terpaksa akur disingkirkan apabila mendapat markah 72 peratus daripada juri selepas menyanyikan lagu "Dewa Dewi" nyanyian asal kumpulan Spider.

Kini, tinggal tujuh sahaja lagi selebriti di sebalik topeng – Orang Utan, Rajah Brooke, Wau, Enggang, Reno, Rafflesia dan Bunga Raya yang akan berentap demi gelaran juara pertama The Masked Singer Malaysia!

Saksikan program penuh kejutan ini di saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) pada setiap Jumaat, jam 9 malam.

Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.