GARA-GARA memainkan lagu penyanyi popular Ed Sheeran berulang kali di tengah malam, seorang wanita di United Kingdom dimasukkan ke penjara.

Sonia Bryce, 36 tahun, dari Willenhall, Walsall telah memutarkan lagu Shape of You dengan nada kuat dan berulang kali selama lebih setengah jam sehingga menganggu ketenteraman jirannya, Clare Tidmarsh.

Clare yang mempunyai tiga orang anak berasa terganggu dan akhirnya nekad membuat laporan polis, lapor The Sun.

Sonia yang dihadapkan ke muka pengadilan bagaimanapun mengaku tidak menggemari penyanyi yang popular dengan single Thinking Out Loud tersebut.

"Saya langsung tidak suka dengan Ed Sheeran," kata Sonia.

Namun pengakuan itu ditolak oleh hakim.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lapan minggu ke atas Sonia kerana mengganggu ketenteraman jiran tetangga.

"Dulu saya peminat Ed Sheeran sehingga memasukkan lagunya di dalam playlist saya. Tetapi kini tidak lagi kerana ia membuatkan kami gila," beritahu Clare.