KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Caprice dikhabarkan sudah menamatkan zaman bujang dengan seorang wanita berasal dari Kelantan.

Gambar perkahwinan Caprice, 33, dengan wanita yang dikenali sebagai Farra Inalis yang berusia 26 tahun itu dikongsi anggota kumpulan DeFam, Azira Shafinaz di Instagram Story.

Kosmo Online melaporkan, pasangan Caprice merupakan ibu tunggal yang telah dikenali kira-kira 10 tahun lalu.

Pembantu peribadi Caprice yang dikenali sebagai Aiman, bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kesahihan berita berkenaan namun lebih rela membiarkan agar perkara itu dijawab sendiri oleh pelantun lagu Lenglui itu.

“Saya tidak boleh nak sahkan betul atau tidak. Tapi kalau orang kongsi gambar dia (berkahwin), sarung cincin, maksudnya, memang betullah dia dah kahwin.

“Apa yang saya tahu Caprice telah berkenalan dengan wanita itu sejak 10 tahun. Saya sendiri tak dimaklumkan tentang pernikahannya kerana sekarang saya berada di Langkawi. Saya dapat tahu dia berkahwin sekitar pukul 5 petang hari ini.

“Dia (isteri Caprice) baik orangnya dan dia berasal dari Kelantan. Apa-apa maklumat lanjut, akan datang dari bibir Caprice sendiri nanti,” katanya seperti dilaporkan Kosmo Online.