LOS ANGELES: Pelakon terkenal Hollywood, Will Smith dilarang menghadiri acara Oscar selama 10 tahun selepas pemenang anugerah pelakon lelaki terbaik itu menampar pelawak Chris Rock di atas pentas akhir bulan lalu.

Langkah itu diputuskan lembaga gabenor Akademi Seni dan Sains Filem dalam satu mesyuarat yang diadakan pada Jumaat.

"Acara Oscar ke-94 diadakan bagi meraikan ramai individu dalam komuniti kita dalam menghasilkan karya terbaik sepanjang tahun lalu.

"Namun detik itu dicemari oleh tindakan berbahaya dan tidak boleh diterima Smith seperti yang kita lihat berlaku di atas pentas," kata Presiden Akademi David Rubin dan Ketua Eksekutif Dawn Hudson dalam satu kenyataan bersama.

BACA: Will Smith 'naik angin', tampar Chris Rock di pentas Oscar 2022

Dalam satu kenyataan balas, Smith berkata beliau "menerima dan menghormati keputusan yang dibuat pihak Akademi".

BACA: Mengapa Will Smith 'naik angin' dan kenapa jenaka Chris Rock 'melampau'?

Larangan itu bermakna Smith tidak akan menyampaikan salah satu anugerah utama di majlis anugerah Oscar tahun depan, seperti tradisi untuk pemenang pelakon terbaik.

Minggu lalu, Smith meletak jawatan daripada Akademi dan berkata sedia menerima sebarang hukuman yang dijatuhkan oleh Akademi itu.

Kenyataan Akademi | Will Smith dilarang hadiri Oscar selama 10 tahun


BACA: Will Smith lepaskan keahlian Oscar

Bagaimanapun, pihak Akademi membenarkan Smith untuk kekal menerima anugerah pelakon terbaiknya bagi lakonannya dalam "King Richard."

Pihak akademi juga memohon maaf kerana gagal menangani situasi yang berlaku antara Smith dan Rock dengan sebaiknya.

Sebelum ini pelakon berkenaan telah mengeluarkan beberapa kenyataan memohon maaf pada Rock, penerbit Oscar, calon anugerah serta penonton acara tersebut.

BACA: 'Saya melampaui batas dan saya salah' - Will Smith mohon maaf daripada Chris Rock

BACA: Will Smith menangis, minta maaf selepas tampar Chris Rock

Insiden Oscars | Will Smith mohon maaf kepada Chris Rock

Selain daripada Oscar, Smith turut dilarang menghadiri acara dan program lain dianjurkan badan tersebut secara fizikal atau maya.

Namun badan berkenaan tidak menyatakan jika Smith layak dicalonkan untuk sebarang anugerah dalam tempoh tersebut.

Filem terbaharu Smith "Emancipation" mengisahkan seorang lelaki yang berjaya membebaskan diri daripada menjadi seorang hamba dijangka ditayangkan tahun ini.