BEKAS anggota One Direction, Zayn Malik dan model antarabangsa terkenal, Gigi Hadid telah berpisah selepas dua tahun bersama.

Penyanyi 'Dusk Till Dawn' tersebut telah mengumumkan di Twitter tentang tamatnya hubungan mereka.

“Hubungan saya dan Gigi adalah sungguh bermakna, penuh kasih sayang dan menyeronokkan.

“Saya hormat dan memuja Gigi sebagai seorang wanita dan rakan. Dia mempunyai jiwa yang luar biasa.

“Saya berterima kasih kepada semua peminat kami yang menghormati keputusan dan juga privasi kami dan kami berharap berita ini akan datang dari kami terlebih dahulu,” kata Zayn di laman Twitter beliau.


Gigi turut mengesahkan putusnya cinta mereka di laman Twitter peribadinya.


“Kenyataan tentang penamatan suatu hubungan cinta sering kali kelihatan kurang peribadi kerana tiada cara lain bagi mengambarkan pengalaman yang dialami oleh dua orang dalam masa beberapa tahun.

“Bukan sahaja dalam suatu hubungan tetapi dalam kehidupan secara umum,” tulis beliau.

“Saya menghargai cinta, masa dan pengalaman hidup yang telah saya kongsi bersama-sama Z.

“Saya mahu yang terbaik buatnya dan akan terus menyokongnya sebagai kawan yang saya hormat dan sayang.

“Dan buat masa depan, apa sahaja yang akan terjadi sememangnya akan terjadi,” tambah beliau.

Pasangan tersebut mengakui hubungan percintaan mereka pada 2016 dengan muat naik gambar di Twitter dan Instagram serta penampilan Gigi dalam video muzik Zayn berjudul 'Pillowtalk'.