KUALA KANGSAR: 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, di sini, pada Selasa.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

ADUN BN yang mengangkat sumpah adalah ADUN Lintang daripada UMNO, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Salbiah Mohamed (UMNO-Temengor); dan Khairuddin Abu Hanipah (UMNO-Belanja).

Sementara daripada PH, iaitu ADUN Sungai Rapat daripada Amanah, Datuk Seri Dr Mohammad Nizar Jamaluddin; A Sivanesan (DAP-Sungkai); Loh Sze Yee (DAP-Jalong); Teh Kok Lim (DAP-Aulong); Sandrea Ng Shy Ching (PKR-Teja);   Mohd Azlan Helmi Helmi (PKR-Tualang Sekah), dan Woo Kah Leong (DAP-Pasir Bedamar).

Khairuddin merupakan merupakan satu-satunya muka baharu daripada BN sementara daripada PH pula adalah  Sze Yee, Kok Lim, Shy Ching, Mohd Azlan, Kah Leong.

Istiadat angkat sumpah berkenaan juga disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Pada Isnin, Saarani sekali lagi dilantik menjadi Menteri Besar Perak selepas mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah.

Dalam sidang media semalam, Pengerusi BN Perak itu berkata tiga ADUN daripada BN akan dilantik sebagai EXCO sementara tujuh lagi daripada Pakatan Harapan (PH).

Pada Isnin, BN dan PH memutuskan menjalinkan kerjasama bagi membentuk kerajaan Negeri Perak selepas mendapat majoriti 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Perikatan Nasional (PN) memenangi 26 kerusi DUN diikuti 24 kerusi dimenangi PH manakala BN hanya memenangi sembilan kerusi daripada 59 kerusi yang dipertandingkan.

Bagaimanapun tidak ada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah 30 kerusi membentuk kerajaan.