ISLAMABAD: Dua letupan kuat melanda sebuah balai polis di daerah Swat, di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan pada Isnin yang mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang manakala lebih 55 lagi cedera, lapor Xinhua.

Pegawai polis daerah, Shafiullah Gandapur, berkata sekurang-kurangnya lapan anggota polis maut dalam kejadian yang berlaku di balai polis Jabatan Memerangi Keganasan (CTD) di Kabal di daerah Swat.

Beliau berkata menurut laporan awal letupan berpunca daripada pengebom bunuh diri namun, pihak berkuasa sedang menyiasat dan mengumpul bukti forensik untuk memastikan punca sebenar kejadian itu.

Operasi menyelamat masih dijalankan untuk menyelamatkan orang ramai yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Tiada kumpulan atau individu mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

-- BERNAMA