Skip to main content

Malaysia

100 pelajar SRBJ dijangka dapat manfaat PSIL

JOHOR-HARVARD TEROKA KERJASAMA PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA, 100 PELAJAR SRBJ BAKAL TERIMA MANFAAT
Tunku Mahkota Ismail (tengah) berkenan menerima menghadap delegasi universiti itu diketuai Penolong Pengarah Pengajian Prasiswazah yang juga Pensyarah Biologi Molekul dan Sel, Dr Dominic Mao serta Penolong Dekan Kolej Harvard, Dr Andrea Wright. Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tiga dari kiri). - Gambar Facebook Aznan Tamin

JOHOR BAHRU: Sebanyak 100 pelajar Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) dijangka menerima manfaat menerusi penerokaan kerjasama bagi Program for Scientifically-Inspired Leadership (PSIL) antara Kerajaan Negeri Johor dan Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, program yang diwujudkan pada 2019 oleh universiti berkenaan memberi penekanan kepada pembelajaran aktif, pemikiran kritis, komunikasi berkesan dan pembangunan kepimpinan.

“Cadangan awal pelaksanaan PSIL bersama SRBJ pada Januari 2027 bakal melibatkan 100 pelajar terpilih daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara dan SMK Seri Kota Puteri 2," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Aznan berkata, manfaat program itu turut diperluas kepada 40 guru SRBJ melalui bengkel pedagogi pembelajaran aktif bagi memperkukuh kaedah pengajaran yang lebih interaktif, kreatif dan berkesan dalam memastikan suasana pembelajaran kondusif.

Kelmarin, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap delegasi universiti itu diketuai Penolong Pengarah Pengajian Prasiswazah yang juga Pensyarah Biologi Molekul dan Sel, Dr Dominic Mao serta Penolong Dekan Kolej Harvard, Dr Andrea Wright.

Aznan berkata, pertemuan itu membuktikan komitmen dan pandangan jauh baginda dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negeri menerusi jaringan strategik bersama institusi bertaraf antarabangsa, sekali gus membuka peluang kepada anak Johor terhadap pendedahan budaya pembelajaran global.

SRBJ memberi penekanan penguasaan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa Melayu, pengukuhan kemahiran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pembangunan sahsiah serta kebolehpasaran murid, selain pelaksanaan pentaksiran kompetensi setara dengan penilaian bertaraf antarabangsa dan selari dengan dasar Kementerian Pendidikan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement