PUTRAJAYA: 'Langkah Dubai' yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh mengganggu gugat sistem demokrasi berparlimen didakwa digerakkan oleh Ahli Parlimen, termasuk pimpinan pembangkang.

Setiausaha politik kanan kepada perdana menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata sebanyak 12 laporan polis dibuat di seluruh negara hari ini bagi menamatkan spekulasi berhubung usaha menggagalkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Begitu pun, beliau tidak mendedahkan nama individu terbabit secara spesifik yang dipercayai mendalangi gerakan itu.

“Saya yakin gerakan ini telah dimulakan oleh beberapa orang Ahli Parlimen termasuk pimpinan pembangkang yang tidak bertanggungjawab.

“Tindakan mereka hakikatnya boleh memudaratkan demokrasi berparlimen, menimbulkan keresahan, dan mencetuskan ketidaktenteraman awam.

“Cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan politik yang boleh mengancam keselamatan negara mesti digagalkan,” katanya dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pada Isnin.

Terdahulu, Shamsul Iskandar selesai membuat laporan polis di IPD Putrajaya pada jam 2.43 petang, berhubung gerakan yang dikenali sebagai ‘Langkah Dubai’ itu.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat gerakan berkenaan yang didakwa bertentangan dengan Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Ditanya mengenai sejauh mana kesahihan ‘Langkah Dubai’,  Shamsul Iskandar berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara berkenaan.

“Jadi saya harap dengan puluhan laporan dibuat, ia tentu menjadi perkara keprihatinan dan polis akan ambil tindakan yang tegas,” ujarnya lagi.

Beliau menambah laporan polis dibuat susulan pendedahan oleh penulis blog, Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa terdapat gerakan bersungguh-sungguh untuk menggulingkan kerajaan.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui menyedari rancangan sulit dipanggil 'Langkah Dubai' untuk menggugat kedudukan kerajaan, namun menyifatkan usaha itu hanya membuang masa.

Sementara, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan 'Langkah Dubai' yang didakwa digerakkan oleh segelitir pihak, tidak akan memberi kesan kepada kedudukan Kerajaan Perpaduan.