KUALA LUMPUR : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan tidak akan mengambil bahagian dalam mana-mana langkah untuk menumbangkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Pengerusinya yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan pada Rabu berkata, langkah terbabit akan menyebabkan huru-hara dan memberi kesan besar terhadap kestabilan negara.

"Kita masih ada Kerajaan Persekutuan yang berfungsi dan mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan negeri. Jadi kenapa kita harus ganggu?," katanya.

Beliau dalam masa sama turut mempersoal motif dan niat mereka yang terlibat dalam 'Langkah Dubai' sebagai berpaksikan agenda politik tersendiri tanpa memikirkan kebajikan rakyat.

"Kita bekerja untuk negara dan kemakmuran rakyat.

"Kita tidak menyokong sebarang langkah yang menjejaskan kestabilan negara.

"Malaysia mengamalkan konsep demokrasi. Mana-mana individu yang mahu menjadi Perdana Menteri harus menanti Pilihan Raya Umum untuk melihat sama ada rakyat menyokong mereka," tambah beliau.

Untuk itu beliau menegaskan bahawa GRS akan terus memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.