SHAH ALAM: Sebanyak 75 laporan polis telah diterima berhubung ‘Langkah Dubai’, yang dikatakan gerakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata mengikut pecahan, laporan dibuat oleh 44 orang awam, dan selebihnya merupakan individu daripada parti-parti politik.

"Siasatan masih mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan, iaitu cubaan melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, serta Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Hussain berkata, kertas siasatan polis dibuka susulan penularan video oleh beberapa individu yang mendakwa akan berlaku pertukaran Kerajaan dalam masa terdekat, termasuk blogger Raja Petra Kamaruddin.

Katanya lagi, siasatan perlu dilakukan kerana perkara tersebut dikhuatiri akan mendatangkan kegusaran kepada masyarakat, dan mengganggu ketenteraman awam.

Sementara itu, ditanya mengenai laporan polis oleh seorang pegawai kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, tentang laporan sebuah blog yang mendakwa Perikatan Nasional cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong, Mohd Shuhaily berkata beliau masih belum terima sebarang maklumat mengenainya.