BUTTERWORTH: Sebanyak 1,273 kes berjaya diselesaikan menerusi mediasi komuniti dari 2017 hingga 2025, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata inisiatif itu kini disokong oleh 595 mediator komuniti bertauliah bagi membantu menyelesaikan pertikaian secara aman, cepat dan berhemah tanpa perlu membawa setiap kes ke mahkamah.
“Sebanyak 10 Pusat Mediasi Komuniti kini beroperasi di seluruh negara dengan menawarkan perkhidmatan secara percuma, manakala 12 lagi organisasi baharu dikenal pasti bagi memperluas pelaksanaannya menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.
“Dialog dan mediasi komuniti perlu terus diperkukuh bagi menangani konflik, penyebaran kebencian serta defisit sosial yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Dialog Aman, Responsif dan Empati Sosial: DARES@Komuniti Peringkat Kebangsaan 2026, di sini, hari ini.
Aaron berkata kepelbagaian agama, kaum, budaya dan bahasa merupakan aset terbesar negara, namun hanya akan menjadi kekuatan sekiranya rakyat memilih persefahaman berbanding prejudis serta mengamalkan sikap saling menghormati.
“Perpaduan hari ini bukan hanya dicabar dalam komuniti fizikal, tetapi juga di hujung jari menerusi telefon pintar dan media sosial yang boleh menjadi medium penyebaran fitnah, kebencian, provokasi agama dan perkauman,” katanya.
Beliau berkata berita palsu boleh tersebar kepada jutaan orang dalam beberapa minit, sedangkan usaha untuk memperbetulkan persepsi mungkin mengambil masa berhari-hari atau bertahun-tahun.
Sehubungan itu, katanya, negara memerlukan lebih ramai ejen perpaduan digital yang memilih fakta berbanding fitnah, empati berbanding emosi serta dialog berbanding provokasi.
Beliau turut menyeru golongan belia supaya menjadi pengguna ruang digital yang bertanggungjawab dan menyedari bahawa setiap perkongsian, komen serta tindakan dalam talian boleh memberi kesan kepada keharmonian masyarakat.
-- BERNAMA